(Tangkap layar video temu bual secara langsung di sebuah
stesen televisyen)
KUALA LUMPUR, 29 April- Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa penyanyi, Datuk Hattan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap sikap tidak profesional serta respon memalukan penyampai berita sebuah televisyen swasta ketika ditemu bual secara langsung, semalam.
Presiden GKMM, Mohamad Fauzi Ishak berkata, jawapan Datuk Hattan pada sesi temu bual itu jelas menunjukkan sikap tidak profesional beliau terutama ketika memberi kenyataan kepada media.
"Ia dilihat menghina kerjaya kewartawanan serta stesen media arus perdana negara.
"Sikap tidak hormat ditunjukkan Datuk Hattan itu, turut mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pengamal media khususnya kumpulan wartawan-wartawan, selain dikritik secara terbuka orang ramai di media sosial," katanya.
Fauzi berkata, mengambil kira status Hattan sebagai individu terkenal dan artis senior negara, penyanyi berkenaan wajar mengambil tanggungjawab terhadap tindakannya itu.
Semalam, nama Hattan hangat diperkatakan dan menjadi bahan perdebatan netizen selepas insiden menempelak penyampai berita sebuah stesen televisyen kerana dikatakan tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan.
Menerusi rakaman video yang tular, Hattan dihubungi oleh penyampai berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam kelmarin.
Soalan diajukan berkenaanl irik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan 'makan dalam' mengundang suasana tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.
(Pembaca berita sebuah stesen televisyen (kiri) dan Hattan (kanan)
Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.
Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.
Hattan kemudian bertindak mematikan talian.selepas menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penyampai berita berkenaan yang didakwanya tidak membuat pengumpulan maklumat yang sewajarnya sebelum memulakan wawancara.