IPOH, 10 April- Saingan Liga Premier menyaksikan Perak FC bangkit dari ketinggalan untuk mengecewakan Selangor FC 2, dengan keputusan 2-1 malam tadi.
Permainan seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan menyaksikan tiada gol dihasilkan pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor FC 2 terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penyerang import, George Attram pada minit ke-81.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran pemain sayap, Saiful Iskandar Adha.
Pemain gantian, Farid Khazali kemudian menyemarakkan api kebangkitan Perak FC menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-88 hasil sepakan percuma.
Farid kemudian menjaringkan gol kemenangan pasukan tuan rumah menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada masa kecederaan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Perak FC.
(Perlawanan Liga Premier, Perak FC menentang Selangor FC 2 di Stadium Perak malam tadi/ FB MFL)
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah nyata berpuas hati dengan persembahan ditampilkan barisan pemainnya.
"Bagi saya komitmen dari semua pemain yang menyebabkan keadaan itu berlaku, dan penyudah yang bagi saya cukup baik daripada Farid sendiri membuahkan hasil yang bagi saya amat lumayan, lumayan di sini adalah kerana kami 'nothing', tanpa apa-apa, tapi kami pemain saya masih lagi memberikan segala-galanya untuk Perak FC," kata Yusri.
Sementara itu, jurulatih Selangor FC 2, Rusdi Suparman jelas kecewa dengan keputusan tersebut lebih-lebih lagi selepas tewas menerusi jaringan pada masa kecederaan.
"Kita melepaskan satu peluang, peluang keemasan dimana sepatutnya kita, tiga mata tu berpihak kepada pasukan Selangor tetapi sebagaimana kita dapat saksikan tadi di minit-minit terakhir kita membuat satu kesilapan di mana kita memberikan Perak ruang untuk mencipta gol," kata Rusdi.