FOTO AFP
MANCHESTER, 23 Februari- Manchester United memiliki "lebih identiti" di bawah kendalian pengurus sementara, Ralf Rangnick ketika persediaan bagi peringkat kalah mati pertama Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga tahun.
Demikian menurut pemain sensasi pasukan itu, Bruno Fernandes.
United akan berdepan Atletico Madrid pada kelompok 16 terakhir, awal pagi esok setelah kedua-dua pasukan melalui musim mengecewakan menjelang pertemuan pertama di Wanda Metropolitano.
Jurulatih Atletico, Diego Simeone berkata Rangnick sudah menukar United menjadi sebuah pasukan yang kuat.
"Kami akan berdepan satu daripada pasukan terbaik di dunia. Dalam 14 perlawanan terakhir, jika saya tidak silap mereka hanya kalah sekali," kata Simeone, semalam.
Pemain tengah, Fernandes berkata kemenangan 4-2 pada Ahad lalu berdepan Leeds bukti bahawa masalah di bilik persalinan di bawah Rangnick tidak berasas.
"Di kelab ini, saya tidak pernah dengar sesiapa merungut mengenai taktik dan saya harap tiada siapa melakukannya kerana perkara itu seperti tidak menghormati idea jurulatih, kerana saya rasa pasukan beraksi baik sejak beliau mengemudi pasukan ini." -AFP