KUALA LUMPUR, 3 April - Dunia hiburan hari ini dikejutkan dengan pemergian pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn, sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang) di usia 73 tahun.
Pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang telah disahkan oleh anak angkatnya iaitu Mohamad Hanif Hashim.
Sejak kelmarin Allahyarham ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang akibat berlaku pendarahan semasa membuang air besar.
Sebelum ini, Allahyarham mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.
Berikutan itu, Allahyarham perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.