NEW YORK, 17 Jun- Tayangan perdana filem F1 arahan Joseph Kosinski mencuri tumpuan apabila ribuan peminat sukan permotoran dan filem membanjiri kawasan Times Square, New York pada Isnin.
Filem terbitan Apple Studios itu dibintangi Brad Pitt dan Damson Idris, serta turut melibatkan kerjasama pelumba legenda Lewis Hamilton selaku penerbit bersama.
Ia menjanjikan pengalaman perlumbaan Formula 1 yang realistik, dirakam secara langsung di litar sebenar.
Dalam filem berkenaan, Pitt memainkan watak pelumba veteran yang kembali ke litar untuk menyelamatkan pasukan sahabat lamanya dan membimbing pelumba muda berbakat lakonan Idris.
Menariknya, kedua-dua pelakon memandu sendiri kereta lumba sebenar dalam beberapa adegan, termasuk di beberapa Grand Prix seperti Abu Dhabi dan Mexico City, yang dirakam ketika sela waktu perlumbaan sebenar.
Bercakap kepada media, Pitt menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa.
"Ia satu pengalaman seumur hidup. Saya sendiri tak sangka, selepas sekian lama, saya akan temui sesuatu yang luar biasa seperti ini. Ia bermula daripada idea berani Joe Kosinski untuk meletakkan kami terus di atas litar, menyelami sendiri suasana musim perlumbaan sebenar. Pihak F1 membuka pintu seluasnya buat kami dan inilah hasilnya," katanya.
Filem F1, yang menampilkan sinematografi dari tengah-tengah kehangatan musim perlumbaan, dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh dunia mulai 27 Jun, edaran Warner Bros.
Para pengkritik awal menyifatkan filem itu sebagai satu gabungan unik dunia Hollywood dan arena perlumbaan sebenar, dengan sentuhan aksi dan emosi yang jarang dipaparkan dalam genre sukan.-REUTERS