fb fb fb fb fb

ERASER filem akhir Adibah Noor, mula ditayang 1 Jun

(Foto Mark Lee See Teck)

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Kerinduan peminat kepada pelakon dan penyanyi, Allahyarhamah Adibah Noor boleh diubati menerusi lakonan terakhirnya menerusi filem berjudul ERASER.

Filem arahan Mark Lee See Teck itu termasuk dalam kategori filem Malaysia wajib tonton di platform Prime Video, memulakan tayangan hari ini dan tersedia di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga sebagai hadiah perpisahan daripada pelakon berbakat itu yang telah meninggalkan kita semua pada 18 Jun 2022.

Menurut Mark Lee, produksi tidak berdepan banyak kekangan untuk menukar format filem pendek ini dalam durasi 94 minit.

"Kami berjaya menghasilkan ERASER seperti yang produksi inginkan," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Penerbit, Mandy Yap berkata ERASER dihasilkan ketika COVID-19 sedang melanda dunia.

"Kami perlu memastikan semua kru berada dalam keadaan sihat dan mengamalkan SOP ketat agar tiada penularan wabak semasa set penggambaran.

"Pembikinan filem pada musim pandemik membuatkan kos bertambah, termasuk lima sehingga 10 peratus kos untuk memastikan keselamatan semua kru terjamin.

"Bagaimanapun pihak kami bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang 20 hari penggambaran dijalankan," katanya.

ERASER adalah kisah kembara keluarga yang porak peranda namun masih bertahan demi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi walaupun berbeza agama.

Ia turut dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.


(Foto Mark Lee See Teck)

Media Baharu