fb fb fb fb fb

Isu bayaran royalti, PRISM berdepan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 1 Jun- 30 penggiat seni tanah air, berjaya memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) bagi menuntut pembayaran royalti sejak 2017.

Hakim, Ahmad Murad Abdul Aziz memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan difailkan 30 individu selaku pemohon mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Antara penggiat seni terlibat, Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Datuk J Sham, Azharina Azhar dan Aris Ariwatan.

Kesemua penyanyi dan pemuzik itu memfailkan permohonan pada 8 Dis 2022 dengan menamakan PRISM yang kini telah digulungkan, sebagai responden.

Jamal menerusi afidavit sokongannya menyatakan PRISM telah diisytihar sebagai suatu badan pelesenan di bawah Seksyen 27A Akta Hakcipta 1987 untuk menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi pihak ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan penyanyi dan pemuzik.

Dakwanya, PRISM gagal mengutip dan membuat pengagihan jumlah kutipan royalti yang layak diterima oleh pemohon-pemohon bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Kesemua pemohon masih belum menerima apa-apa bayaran daripada jumlah kutipan royalti berkenaan yang layak diterima mereka daripada PRISM.

Sehubungan itu, pemohon turut memohon deklarasi PRISM cuai menjalankan tugasnya sebagai pemegang amanah untuk mengutip dan mengagihkan wang royalti bagi kesemua pemohon.

Kesemua pemohon diwakili peguam Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Sofiah Omar dan Muhammad Izzat Dzulkafli manakala pegawai penerima & pelikuidasi yang juga Peguam Kanan Persekutuan dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur Rahni Kartini Abd Rahim dan Norizan Omar turut hadir pada prosiding hari ini.


(Penggiat seni yang terlibat hadir ke Mahkamah Tinggi KL, hari ini)

Media Baharu