KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Berhibur sambil beramal, itu yang dibawakan oleh penyanyi Ratu Rock Negara ELLA dalam Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Spice Arena, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Hampir 14,000 penonton yang hadir memenuhi segenap ruang dengan kedudukan pentas yang berada di tengah-tengah arena, konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ edisi Pulau Pinang yang dibawakan khas oleh penganjur acara terkenal, Hitman Solutions melalui kolaborasi bersama syarikat pengurusan Ella, RockQueen.
Penampilan ratu rock negara, dalam busana serba putih membawa bendera Palestin memberi simbolik solidariti terhadap rakyat negara itu yang sedang berdepan dengan kemelut kemanusiaan, dan dalam nada tenang penuh keprihatinan, Ella menyeru semua yang hadir.
“Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa buat saudara kita yang terkorban dan sedang bergelut dengan konflik peperangan di sana, ‘free Palestine’!” katanya sebelum memulakan persembahan.
Persembahan montaj 35 tahun penglibatan Ella sepanjang berada dalam bidang seni dipersembahkan melalui kesan audio visual yang menarik dengan diiringi lagu Ulek Mayang.
Lagu pertama yang dipersembahkan, 'Risau' menggamit memori kesemua penonton dengan sorakan yang gemuruh diikuti dengan 'Belenggu, Tiada Tangis Lagi, Sujud, Prinsip, Anak Patung, Retak, Pengemis Cinta, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Kitalah Bintang, Permata Biru, Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang' dengan hampir 40 buah lagu kesemuanya.
Malam konsert turut diserikan dengan penampilan istimewa bersama suami Ella, Kapten Azhar Ghazali berduet romantis melalui lagu Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti Hujan.
Kejutan yang paling ditunggu-tunggu oleh semua, kemunculan khas Datuk Awie berduet bersama Ella menyanyikan lagu Baldu Biru dan nyanyian solo oleh Datuk Awie sendiri melalui lagu hitnya, Penjara Misteri.
“Alhamdulillah, pertama sekali terima kasih kepada semua penonton yang sudi hadir ke konsert saya dan buat semua kru yang terlibat.
“Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan sejak dua minggu yang lalu oleh kerana jerebu, saya agak risau jika malam konsert terpaksa dibatalkan, tapi berbekalkan doa serta semangat dari semua, saya berjaya melunaskan tanggungjawab saya pada malam ini untuk orang-orang utara.
“Saya rasa terharu berbaur sedih kerana berpeluang dapat membuat persembahan di tempat asal kelahiran saya.
“Dan terima kasih buat semua yang menyokong solidariti saya terhadap Palestin melalui sumbangan kepada tabung Cinta Gaza Malaysia, salah satu cara kita dapat membantu secara fizikal dan sudah pastinya doa dari anda semua. “Peace, love, rindu," kata Ella kepada media selepas konsertnya di Pulau Pinang baru-baru ini.
Bagi Pengasas Hitman Solutions dan penganjur konsert ini Rohit Rampal, impian kami (Hitman Solutions) adalah dengan terus meningkatkan penanda aras setiap konsert, memberikan sesuatu yang unik dan berlainan di setiap persembahan Ella.
“Nantikan konsert yang seterusnya pada suku pertama tahun hadapan yang akan diadakan di Sabah pula, jadi nantikan tarikhnya," katanya.