fb fb fb fb fb

Doherty tandatangan surat perceraian sehari sebelum meninggal dunia

Shannen Doherty (kanan) dan bekas suaminya Kurt Iswarienko / REUTERS

LOS ANGELES, 16 Julai- Pelakon, Shannen Doherty bersetuju untuk memuktamadkan perceraiannya sehari sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Pelakon wanita itu bersetuju untuk memuktamadkan perceraiannya dengan bekas suami Kurt Iswarienko pada Jumaat.

Doherty menandatangani dokumen untuk menyelesaikan perceraian pada 12 Julai manakala Iswarienko menandatangani dokumen pada 13 Julai, hari yang sama Doherty meninggal dunia pada usia 53 tahun.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh majalah tabloid People, mendiang Doherty menandatangani pemfailan untuk mengetepikan sokongan pasangannya. Dia juga bersetuju dengan "pembubaran tidak dipertikaikan" berhubung perkahwinan mereka, menunjukkan kedua-duanya telah memuktamadkan prosiding perceraian mereka di luar mahkamah.

"Kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian bertulis mengenai harta dan hak perkahwinan atau perkongsian domestik mereka, yang sedang atau telah dikemukakan kepada mahkamah," menurut dokumen tersebut.

Doherty dan Iswarienko berkahwin pada Oktober 2011. Bintang The Beverly Hills, 90210 itu memfailkan perceraian pada April 2023 selepas 11 tahun berkahwin, dengan wakilnya memberitahu People pada masa itu, "Perceraian adalah perkara terakhir yang Shannen mahukan."-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE