KUALA LUMPUR, 20 Julai -Program Debaran Bintang Kecil 2025 bukan sekadar usaha untuk mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan kanak-kanak, malah berperanan sebagai sebuah platform strategik Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam melahirkan generasi pelapis bagi industri hiburan tanah air menerusi pendekatan digital serta penghasilan kandungan yang merentasi sempadan.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, kewujudan platform Over-The-Top (OTT) seperti RTM Klik membolehkan kandungan tempatan dinikmati bukan sahaja oleh penonton dalam negara, malah turut menarik perhatian penonton dari negara-negara jiran dan khalayak antarabangsa.
"Jika dahulu kita hanya berpeluang menonton program-program yang diterbitkan untuk televisyen, kini dengan kewujudan RTM Klik, pelbagai genre rancangan dapat dihasilkan. Perkembangan ini membolehkan bakat-bakat baharu diasah dan diketengahkan ke peringkat antarabangsa, termasuk kepada penonton dari Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan United Kingdom." katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop, menyifatkan kekuatan program ini sebagai landasan awal untuk memperkenalkan dunia seni kepada anak-anak generasi baharu. Program ini juga berperanan membantu mereka mengembangkan potensi diri melalui pendedahan secara formal dalam bidang seni suara.
Menurut beliau, bakat semula jadi perlu diperkukuh dengan pengetahuan serta kemahiran teknikal agar kawalan vokal dan mutu persembahan dapat mencapai standard profesional dan seterusnya menarik minat khalayak yang lebih luas.
"Anak-anak kita diperkenalkan kepada dunia hiburan dan seni suara. Individu yang memiliki bakat sewajarnya turut diberikan pendedahan terhadap pendidikan formal agar mereka memahami secara menyeluruh aspek pengawalan vokal serta keupayaannya menarik minat pendengar pada masa hadapan." jelas beliau.