fb fb fb fb fb

35 tahun dalam dunia seni, Hattan adakan konsert buat peminat Jun depan

KUALA LUMPUR, 15 April- Sempena 35 tahun perjalanan sebagai anak seni, penyanyi rock legenda, Datuk Hattan bakal mengadakan konsert untuk semua peminat tanah air.

Konsert Hattan-35 Years Journey anjuran Mewah Event Management itu dijadual berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun depan.

Difahamkan, tiket untuk persembahan pada 5 Jun telah habis dijual.

Selain tiket konsert yang begitu laris, penyanyi kelahiran negeri adat perpatih itu, kini sedang mempersiapkan diri dengan latihan intensif sebagai persediaan untuk menyanyikan 22 buah lagu pada konsert berskala besar berkenaan.

"Saya memang ahli sukan, saya selalu main golf. Dulu kalau main golf saya naik kereta 'buggy' tapi sekarang saya jalan kakilah. Saya akan memulakan latihan intensif kat rumah lah, naik basikal semua. Hari itu saya berehat sebab PKP, saya akan sambung baliklah. Maklumlah dengan usia dah macam ni, itu penting tu, stamina kan. Hari tu dengan baru pulih dari COVID-19," kata Hattan ketika ditemui pemberita RTM selepas sidang medianya di sebuah hotel di ibu negara.


(Datuk Hattan ditemui media selepas sidang media Konsert Hattan-35 Years Journey di ibu negara)

Tambah Hattan, lagu-lagu hits seperti Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah dan Biso Bonar antara seleksi lagu yang bakal didendangkan beliau untuk semua penonton yang hadir.

Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabuddin, 58, antara anak seni yang disegani masyarakat dan sering mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dengan kehebatan vokalnya.


Media Baharu