KUALA LUMPUR, 14 April- Kes saman difailkan sebuah syarikat produksi terhadap pelakon Ben Amir yang didakwa melanggar perjanjian selepas enggan menjadual semula penggambaran drama yang tertangguh akibat COVID-19 diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini.
Penyelesaian kes itu dicapai oleh kedua-dua pihak selepas Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 32, selaku defendan bersetuju membayar RM100,000 kepada plaintif, Elisa Vision Sdn Bhd.
Berdasarkan perintah persetujuan itu, Hakim Tasnim Abu Bakar berkata Muhammad Amir perlu membayar RM100,000 secara ansuran sebanyak lima kali iaitu RM20,000 setiap kali bayaran bermula 10 Mei ini.
"Sekiranya defendan (Muhammad Amir) gagal membayar wang itu (RM100,000), maka jumlah asal yang dituntut plaintif dalam kes saman iaitu RM211,477 perlu dikembalikan oleh defendan," kata hakim itu yang kemudiannya merekodkan perintah persetujuan berkenaan.
Mahkamah turut merekodkan penarikan semula tuntutan balas difailkan pelakon drama 'Sweet Dreams' itu terhadap syarikat produksi tersebut. Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama kes saman itu.
Pada Mac tahun lepas, Elisa Vision memfailkan saman itu setelah mendakwa pelakon berkenaan melanggar perjanjian selepas enggan menjadual tarikh baharu penggambaran drama bersiri bertajuk 'Demi'.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif berkata penglibatan defendan dalam penggambaran drama tersebut adalah sebanyak 13 hari membabitkan 85 babak bagi tiga episod.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa ketika penggambaran di Scotland, pandemik COVID-19 mula melanda namun penggambaran masih diteruskan dengan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
(Ben Amir keluar dari mahkamah Sesyen Sivil selepas Ben besedia bayar pampasan sebanyak RM100,000 secara ansuran
kepada pihak produksi drama Demi dan kes tersebut dianggap selesai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur)
Plaintif mendakwa pada 27 Mac 2020, defendan telah pulang ke Malaysia meninggalkan kesemua krew produksi dan pelakon tanpa pengetahuan plaintif dan defendan sendiri mengakui telah melanggar jadual produksi apabila pulang awal ke Malaysia ketika ditemu bual oleh pengacara rancangan Melodi yang bersiaran pada 12 April 2020.
Plaintif berhasrat menyambung penggambaran drama itu di Malaysia pada 4 Jan hingga 14 Februari 2021, namun defendan melalui surat bertarikh 14 Oktober 2020 menerusi pihak pengurusannya SJ Global telah menyatakan keengganan untuk menjadual tarikh baharu pengambaran dan menyatakan perjanjian tersebut telah ditamatkan.
Oleh itu, plaintif telah mengalami kerugian dan menuntut antaranya ganti rugi RM211,477.08, faedah, kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Muhammad Amir ketika ditemui pemberita selepas prosiding hanya berkata "selesai secara baik" manakala penerbit Elisa Vision Sdn Bhd, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain menzahirkan kesyukuran kerana kes saman itu dapat diselesaikan.