(Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora)
ISKANDAR PUTERI, 14 April - Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) tidak memandang rendah terhadap Guangzhou FC yang akan menurunkan barisan pemain muda menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam esok.
Ketua Jurulatih, Benjamin Mora menjangkakan tentangan sengit daripada kelab berkenaan yang merupakan antara terbaik di Asia.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dan bakal disaksikan ribuan penyokong sendiri, Mora yakin ia dapat memberikan kelebihan buat pasukan.
Selain itu, pihaknya akan menilai keadaan semasa penjaga gol JDT, Farizal Marlias sebelum membuat keputusan menurunkan beliau bagi perlawanan esok.
"Ini adalah satu tugasan buat kami, tidak kira sama ada ia pasukan pertama atau kedua, pasukan lawan (Guangzhou FC) adalah salah satu pasukan gergasi dalam Asia yang telah memenangi banyak kejuaraan di China. Jadi sudah tentu, ia adalah salah sebuah gergasi Asia dan kami akan menentang Guangzhou FC sebagai kelab terbaik," katanya.
(Jurulatih Guangzhou FC, Pan Yonghe)
"Kami belajar sesuatu daripada lawan kami sebelum ini dan telah mendapatkan persediaan terbaik, objektif kamiĀ adalah untuk memperbaiki pasukan sendiri," menurut Jurulatih Guangzhou FC, Pan Yonghe.
Kedua-dua pengendali ini ditemui dalam satu sidang media di Iskandar Puteri, Johor.
Terdahulu, Pengurus Kawasaki Frontale, Oniki Toru berkata pasukannya memandang serius terhadap kejuaraan berkenaan dan berhasrat memenangi piala untuk saingan musim ini.
Manakala Jurulatih Ulsan Hyundai FC, Myungbo Hong akan melakukan perubahan taktikal khas dalam perlawanan peringkat kumpulan.
Kedua-dua pasukan tersebut akan bertemu dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, petang esok.