Wartawan cedera serangan Zionis di Lubnan

Wartawan RT mengelak peluru berpandu ketika membuat liputan /Foto RT

BEIRUT, 19 Mac – Seorang wartawan dan jurukamera stesen televisyen dari Rusia cedera selepas terkena serangan udara ketika membuat liputan di selatan Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan menyasarkan kenderaan wartawan di lokasi, menyebabkan kecederaan akibat serpihan letupan.
  • Menurut Ruptly, kedua-dua mangsa cedera akibat serpihan, sedar dan menerima rawatan.
  • Kementerian Luar Rusia dan kedutaan mengutuk serangan, menggesa siasatan, menyifatkannya bukan kemalangan.

Serangan menyasarkan kenderaan mereka di lokasi.

Menurut agensi berita Ruptly, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat serpihan letupan, namun berada dalam keadaan sedar dan sedang menerima rawatan.

Rakaman kejadian menunjukkan letupan berlaku berhampiran lokasi wartawan berkenaan yang ketika itu memakai jaket petugas media.

Kementerian Luar Rusia menyifatkan insiden itu bukan kemalangan dalam konteks serangan berterusan di rantau berkenaan.

“Memandangkan pembunuhan 200 wartawan di Gaza, peristiwa hari ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak disengajakan,” kata jurucakapnya, Maria Zakharova.

Kedutaan Rusia di Lubnan turut mengutuk serangan terhadap pengamal media dan menggesa siasatan dilakukan.

Letupan peluru berpandu Zionis jelas menyasarkan wartawan yang sedang bertugas /Foto RT

Sementara itu, tentera rejim Israel seperti kelaziman memberi alasan tidak masuk akal kononnya menyasarkan lintasan di Sungai Litani yang didakwa digunakan oleh Hizbullah untuk pergerakan dan pemindahan senjata.

Menurut kenyataan itu, amaran awal telah dikeluarkan kepada kawasan berkenaan sebelum serangan dilancarkan.

Dalam pada itu, laporan antarabangsa sebelum ini menyatakan jumlah kematian wartawan di seluruh dunia terus meningkat akibat pelbagai konflik.

Bulan lalu, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan memaklumkan seramai 129 wartawan dan petugas media terbunuh di seluruh dunia pada tahun 2025, dengan Israel menjadi punca dua pertiga daripada kematian tersebut.