
KINSHASA, 16 Mei -Republik Demokratik Congo (DRC) kini berdepan wabak baharu ebola dengan sekurang-kurangnya 80 dilaporkan maut.
- Strain Bundibugyo dikenal pasti; tiada vaksin atau rawatan khusus, berpotensi kadar kematian sehingga 50 peratus.
- Wabak dicatat di wilayah Ituri, timur laut DRC berhampiran sempadan Uganda dan Sudan Selatan; satu kes maut dilapor di Uganda.
- 246 kes disyaki direkod; gejala demam, pendarahan dan muntah; WHO bersiap menghantar kira-kira lima tan kelengkapan pencegahan.
Menteri Kesihatan DRC, Samuel-Roger Kamba berkata, strain Bundibugyo yang dikenal pasti dalam wabak kali ini berpotensi mencatat kadar kematian sehingga 50 peratus.
“Strain Bundibugyo tidak mempunyai vaksin dan tiada rawatan khusus,” katanya dalam sidang media di Kinshasa, pada Sabtu.
Wabak tersebut turut meragut satu nyawa di negara jiran, Uganda, membabitkan seorang warga DRC yang meninggal dunia di Kampala selepas dimasukkan ke hospital awal minggu ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar pulang ke negara asal pada hari sama.
Ujian mengesahkan mangsa dijangkiti strain Bundibugyo yang pertama kali dikenal pasti pada 2007.
Ketika ini, vaksin hanya tersedia untuk strain Zaire yang ditemui pada 1976 dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi iaitu antara 60 hingga 90 peratus.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Africa) mengesahkan wabak terbaharu itu berlaku di wilayah Ituri di timur laut DRC yang bersempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan.
Antara gejala penyakit itu termasuk demam, pendarahan dan muntah.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran mengenai risiko tinggi penularan dalam wabak ke-17 yang melanda DRC itu.
Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan sebanyak 246 kes disyaki telah direkodkan setakat ini.
Pemangku Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Jay Bhattacharya, menyifatkan situasi tersebut sebagai “wabak berskala besar”.
Wabak Ebola terdahulu di DRC berlaku pada Ogos tahun lalu di wilayah tengah negara itu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 34 orang sebelum diisytiharkan berakhir pada Disember.
Antara 2018 hingga 2020, hampir 2,300 orang maut dalam wabak Ebola paling buruk di negara itu.
Ebola dipercayai berasal daripada kelawar dan merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu dijangkiti.
Penyakit itu boleh menyebabkan pendarahan serius serta kegagalan organ.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat Ebola dalam tempoh 50 tahun lalu berada antara 25 hingga 90 peratus bergantung kepada jenis strain dan tahap penularan.
WHO turut memaklumkan pihaknya sedang bersiap menghantar kira-kira lima tan peralatan termasuk kelengkapan pencegahan jangkitan dari Kinshasa ke kawasan terjejas. – AFP