Usaha kuota wanita di Parlimen India tidak capai majoriti

Narendra Modi/ REUTERS

NEW DELHI, 19 April Perdana Menteri India Narendra Modi, menyalahkan parti-parti pembangkang pada Sabtu atas kegagalan rang undang-undang yang bertujuan memperuntukkan satu pertiga kerusi Parlimen kepada wanita, selepas ia tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga diperlukan di dewan rendah pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modi memohon maaf kepada semua ibu dan saudara perempuan susulan kegagalan rang undang-undang.
  • Pembangkang menyatakan sokongan kepada kuota wanita tetapi menolak kaitan pelaksanaannya dengan persempadanan semula besar-besaran.
  • Rang undang-undang dicadang meningkatkan kerusi Dewan Rendah kepada kira-kira 850; wanita kini memegang sekitar 14 peratus.
  • Modi berikrar untuk meneruskan dan memperkenalkan semula cadangan itu pada masa akan datang.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, Modi memohon maaf kepada “semua ibu dan saudara perempuan di negara ini” susulan kegagalan rang undang-undang tersebut.

Beliau turut mendakwa parti Kongres, DMK, Trinamool Congress dan Samajwadi Party mengamalkan “politik mementingkan diri” kerana menghalang kelulusan dasar berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan pembangkang menyatakan bahawa mereka menyokong kuota untuk wanita dalam badan perundangan, namun membantah cadangan yang mengaitkan pelaksanaan dasar itu dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara besar-besaran.

Tindakan berkenaan didakwa sebagai usaha kerajaan untuk memanipulasi sistem dan memperoleh lebih banyak undi pada pilihan raya.

Rang undang-undang itu dilaporkan akan meningkatkan jumlah kerusi di dewan rendah sebanyak kira-kira 55 peratus kepada 850 kerusi menjelang pilihan raya umum akan datang pada 2029. Ketika ini, wanita hanya memegang sekitar 14 peratus kerusi di dewan tersebut.

Modi dalam masa sama menegaskan kegagalan rang undang-undang itu tidak akan menghentikan usaha beliau, sebaliknya berikrar untuk meneruskan semula cadangan tersebut pada masa akan datang.- REUTERS