
ABU DHABI, 25 Januari – Ukraine dan Rusia menamatkan hari kedua rundingan yang dimediasi Amerika Syarikat di Abu Dhabi pada Sabtu tanpa mencapai sebarang persetujuan.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk meneruskan dialog pada masa hadapan.
“Tumpuan utama perbincangan adalah terhadap perkara asas yang berpotensi bagi menamatkan perang,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi hantaran di X selepas mesyuarat berkenaan.
“Susulan pertemuan yang diadakan sepanjang beberapa hari ini, semua pihak bersetuju untuk melaporkan setiap aspek rundingan kepada kepimpinan di ibu negara masing-masing serta menyelaraskan langkah seterusnya, dengan rundingan lanjut berkemungkinan diadakan seawal minggu hadapan,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan, rundingan itu melibatkan pertemuan bersemuka antara wakil Ukraine dan Rusia, yang jarang berlaku sejak konflik tercetus hampir empat tahun lalu.
Pertemuan berkenaan turut membincangkan beberapa isu tertunggak dalam rangka kerja pelan damai yang dicadangkan Washington.
Rundingan itu juga berlangsung sehari selepas serangan udara Rusia yang menjejaskan bekalan elektrik kepada lebih sejuta penduduk Ukraine.
Serangan ke atas Kyiv dan Kharkiv itu mendorong Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin bertindak tidak selari dengan rundingan. – REUTERS