Trump beri kata dua, desak Iran segera terima perjanjian damai

Foto REUTERS

WASHINGTON, 18 Mei – Presiden Donald Trump memberi kata dua kepada Iran pada Ahad, sama ada bergerak pantas ke arah perjanjian damai atau bersedia menerima kesan sekiranya tidak bersetuju mencapai perjanjian damai dengan Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Washington dan Tehran setuju gencatan senjata pada 8 April, namun rundingan terhenti dan serangan masih berterusan.
  • Washington sukar pecahkan kebuntuan untuk mencapai kemajuan menamatkan perang.
  • Iran sokong Hizbullah dan tuntut gencatan senjata berkekalan di Lubnan sebelum perjanjian damai lebih luas.
  • Sekatan beri kesan besar kepada Selat Hormuz, laluan penting bagi kira-kira 20 peratus eksport minyak dunia.

“Bagi Iran, masa semakin suntuk dan mereka perlu bergerak cepat atau tidak akan ada apa-apa yang tinggal untuk mereka. MASA SANGAT KRITIKAL,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Washington yang terlibat dalam konflik dengan Tehran sejak tentera Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas republik Islam itu pada 28 Februari masih bergelut untuk memecahkan kebuntuan serta mencapai kemajuan ke arah menamatkan perang yang telah menggoncang Asia Barat dan menyebabkan harga tenaga meningkat.

Perang itu telah menyebabkan sekatan yang memberi kesan besar terhadap Selat Hormuz,laluan penting bagi kira-kira 20 peratus eksport minyak global, selain turut menarik negara lain termasuk Lubnan ke dalam konflik sampingan.

Iran yang merupakan penyokong Hizbullah menuntut agar gencatan senjata berkekalan dikuatkuasakan di Lubnan sebelum sebarang perjanjian damai lebih luas dicapai dengan Trump, ketika pemimpin Amerika itu kecewa dengan keengganan Tehran menerima perjanjian mengikut syarat yang ditetapkannya.

Washington dan Tehran telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 8 April lalu, namun rundingan damai telah terhenti dan serangan masih berterusan.

Pada Ahad media Iran melaporkan, Amerika gagal memberikan sebarang tawaran konkrit dalam respons terbaharunya terhadap agenda cadangan Iran bagi rundingan menamatkan perang. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.