
MALÉ, 16 Mei– Kerajaan Maldives pada Sabtu mengambil tindakan drastik menggantung lesen operasi sebuah kapal mewah selepas lima penumpang warga Itali dilaporkan maut dalam satu insiden menyelam.
- Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ketiga; hanya satu mayat ditemui setakat ini.
- Mangsa termasuk seorang profesor biologi marin, anak perempuannya dan dua penyelidik muda.
- Siasatan dilancarkan selepas kumpulan menyelam melebihi had rasmi 30 meter; mayat ditemui dalam gua pada 60 meter.
- Kementerian Luar Itali mengesahkan kelima-lima rakyatnya meninggal dunia.
Pihak berkuasa memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah memasuki hari ketiga bagi mengesan mangsa yang gagal kembali selepas melakukan aktiviti selaman pada Khamis, dengan hanya satu mayat berjaya ditemukan pada hari kejadian.
Menurut pihak Universiti Genoa, mangsa yang terkorban termasuk seorang profesor biologi marin, anak perempuannya, serta dua penyelidik muda.
Ketua jurucakap kerajaan, Mohamed Hussain Shareef menyatakan bahawa siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kumpulan terbabit menyelam melebihi had kedalaman rasmi yang dibenarkan iaitu 30 meter.
Mayat salah seorang penyelam yang belum didedahkan identitinya ditemukan di dalam sebuah gua pada kedalaman 60 meter.
Bagaimanapun, operasi mencari awal untuk mengesan empat lagi ahli kumpulan berkenaan pada Jumaat masih belum membuahkan hasil.
Susulan itu, Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam telah menggantung lesen operasi kapal pelancongan MV Duke of York, sementara menunggu keputusan siasatan berhubung insiden selaman di Atol Vaavu itu.
Kapal mewah sepanjang 36 meter berkenaan dilaporkan mampu menampung kapasiti sehingga 25 orang tetamu.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Itali pada Khamis mengesahkan kesemua lima rakyatnya telah meninggal dunia dalam tragedi tersebut.
Maldives yang terkenal dengan keindahan pulau karangnya merupakan destinasi percutian mewah yang popular dalam kalangan penyelam. -AFP