Taiwan pertahan kedaulatan negara, abai amaran Trump

Foto AFP

TAIPEI, 16 Mei– Taiwan bertindak berani mempertahankan kedaulatannya dengan menegaskan status mereka sebagai sebuah negara bebas dan merdeka pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar menegaskan Taiwan sebuah negara demokratik yang berdaulat, tidak tunduk kepada Republik Rakyat China.
  • Pihak berkuasa menyatakan penjualan senjata AS penting bagi menghalang cubaan rampasan kuasa secara kekerasan oleh Beijing.
  • Parlimen meluluskan perbelanjaan pertahanan AS$25 bilion untuk perolehan senjata dari Amerika Syarikat.

Ini sekali gus mengetepikan amaran keras Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar tidak membuat sebarang pengisytiharan kemerdekaan secara rasmi.

Kenyataan tegas itu menyusul selepas tamatnya lawatan rasmi Trump ke Beijing, di mana Presiden China, Xi Jinping telah mendesak AS supaya tidak menyokong gerakan kemerdekaan Taiwan yang dianggap China sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Kementerian Luar Taiwan dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa pulau tersebut adalah sebuah negara demokratik yang mempunyai kedaulatan sendiri dan tidak sama sekali tunduk kepada kekuasaan Republik Rakyat China.

Pihak berkuasa Taiwan turut menegaskan bahawa penjualan senjata daripada AS merupakan sebahagian daripada komitmen keselamatan Washington yang sangat diperlukan bagi menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa secara kekerasan oleh Beijing.

Terdahulu, Trump melalui satu temu bual menyatakan keengganannya untuk melihat Taiwan mengisytiharkan kemerdekaan sehingga memaksa tentera AS terlibat dalam peperangan yang jauh.

Walaupun AS membekalkan senjata kepada Taiwan mengikut undang-undang sedia ada, Trump bagaimanapun membayangkan bahawa beliau sedia mempertimbangkan semula isu tersebut dan berbincang mengenainya dengan Xi Jinping.

Langkah Trump itu dianggap sebagai satu perubahan ketara daripada pendirian Washington sebelum ini dan Xi Jinping terus memberi amaran bahawa kesilapan langkah dalam isu sensitif itu mampu mencetuskan konflik yang besar.

Sebagai tindak balas terhadap ancaman China, Parlimen Taiwan telah meluluskan perbelanjaan pertahanan berjumlah AS$25 bilion bagi perolehan senjata dari AS. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.