Serangan terbaharu Israel di selatan Lubnan ragut 11 nyawa, termasuk tiga kanak-kanak

Pasukan keselamatan dan penduduk sekitar berusaha mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan di kampung Deir El-Zahrani di selatan Lubnan./ AFP

BEIRUT, 16 Ogos – Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam beberapa serangan Israel di selatan Lubnan pada Sabtu, menjadikannya serangan paling dahsyat sejak perjanjian antara Israel dan Hizbullah pada Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh terbunuh di kampung Ansar, termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita.
  • Di Deir El-Zahrani, empat terbunuh dan 17 cedera termasuk seorang kanak-kanak dan 11 wanita.
  • Tentera Israel mendakwa serangan itu adalah tindakan balas terhadap serangan Hezbollah.
  • Serangan berlaku menjelang pusingan rundingan langsung kelapan di Rome; Hezbollah beri amaran akan bertindak balas dan gesa kerajaan tinggalkan rundingan.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata tujuh orang terbunuh dalam serangan jet zionis Israel di kampung Ansar, termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita.

Manakala di Deir El-Zahrani, empat orang terbunuh, dan 17 tercedera, termasuk seorang kanak-kanak dan 11 wanita.

Pemimpin Lubnan mengutuk serangan berkenaan, manakala tentera Israel mendakwa operasi itu sebagai tindakan balas terhadap serangan Hezbollah yang disokong Iran.

Serangan itu berlaku ketika Israel dan Lubnan dijadualkan mengadakan pusingan kelapan rundingan terus yang ditaja Amerika Syarikat di Rome pada awal bulan depan.

Kedua-dua pihak sebelum ini mencapai rangka kerja perjanjian dalam rundingan di Washington pada Jun, namun ketegangan terus berlaku di selatan Lubnan.

Sementara itu, Hizbullah memberi amaran bahawa serangan tersebut akan menerima “tindak balas yang sewajarnya”, selain menggesa kerajaan Lubnan meninggalkan rundingan terus dengan Israel.

Mayat mangsa dibawa keluar dari bawah runtuhan sebuah rumah yang menjadi sasaran serangan udara tentera Israel di kampung Ansar./ AFP

Pihak berkuasa Lubnan mendakwa lebih 4,300 orang terbunuh dalam konflik berkenaan.

Walaupun keganasan berkurangan selepas memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran serta perjanjian Israel-Lubnan pada Jun, Lubnan masih melaporkan serangan Israel secara berkala dan pemusnahan bangunan awam di beberapa kawasan selatan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.