Sadiq Khan bidas kritikan, London catat rekod kes pembunuhan terendah

Datuk Bandar London, Sadiq Khan / Foto AFP

LONDON, 13 Januari – Datuk Bandar London Sadiq Khan pada Isnin membalas kritikan terhadap reputasi ibu negara Britain itu berkaitan jenayah, selepas data terbaharu menunjukkan kadar pembunuhan jatuh ke paras terendah dalam tempoh sedekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar pembunuhan di London turun ke tahap terendah sejak 2014 menurut data Polis Metropolitan.
  • Sadiq Khan membidas kritikan politik dan media sosial, menegaskan statistik menunjukkan London semakin selamat.
  • Kes kecederaan akibat keganasan dan kemasukan hospital akibat tikaman menurun ketara dalam beberapa tahun terakhir.
  • Isu kecurian telefon meningkat; Khan gesa syarikat telefon laksana langkah keselamatan seperti fungsi "kill switch".

Menurut angka terbaharu Polis Metropolitan London (Met), terdapat 97 kes pembunuhan pada 2025. Jumlah tersebut paling rendah sejak 2014.

Manakala kadar pembunuhan per kapita London adalah yang terendah sejak rekod mula dikumpulkan pada 1997.

Khan sebelum ini berdepan kritikan hebat daripada ahli politik konservatif dan pelampau kanan di Britain, serta tokoh antarabangsa termasuk pemilik X Elon Musk dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mendakwa kadar jenayah di London semakin meningkat.

“Saya sudah muak dengan ahli politik dan pengulas yang membanjiri media sosial kami dengan pelbagai putar belit dan ketidakbenaran, dan ini adalah bukti kepada negara,” kata Khan kepada AFP.

“London secara objektif lebih selamat berbanding Paris, Milan, Rome, Berlin, Brussels dan Toronto,” katanya dalam satu temu bual.

“London juga lebih selamat daripada setiap negeri di Amerika Syarikat dan dua setengah kali lebih selamat berbanding New York, lima kali lebih selamat berbanding Los Angeles dan 12 kali lebih selamat berbanding Chicago,” katanya.

Khan berkata beliau tidak mengetahui mengapa Trump dan pihak lain kerap mengkritik London dan dirinya.

“Terpulang kepada Presiden Trump untuk menjelaskan mengapa saya sentiasa bermain di fikirannya,” katanya.

Ahli politik Parti Buruh itu, yang menjadi datuk bandar Muslim pertama London pada 2016 dan sering menonjolkan kepelbagaian bandar itu, turut berdepan peningkatan serangan Islamofobia di media sosial.

“Statistik bercakap dengan jelas. London adalah tempat yang selamat untuk didiami, bekerja dan dilawati. Hasil usaha anggota kami yang berdedikasi, jenayah ganas berkurangan dan pembunuhan berada pada tahap terendah sejak 2014,” menurut kenyataan Polis Metropolitan.

Insiden ganas yang mengakibatkan kecederaan menurun hampir satu perlima sejak 2014, manakala data Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menunjukkan jumlah individu yang dimasukkan ke hospital akibat tikaman di London menurun hampir 30 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Bagaimanapun, statistik terbaharu itu tidak merangkumi data bagi jenayah lain seperti kecurian dan kesalahan seksual.

Parti Reform UK yang berhaluan anti-imigresen minggu lalu menyatakan usaha memerangi jenayah di London akan menjadi keutamaan menjelang pilihan raya tempatan Mei ini dan pilihan raya datuk bandar pada 2028.

Calon datuk bandarnya, Laila Cunningham, mendakwa London “tidak lagi selamat”, khususnya untuk wanita.

Sementara itu, kecurian telefon bimbit terus menjadi masalah, dengan Polis Metropolitan merekodkan 117,211 kes telefon dicuri pada 2024, meningkat kira-kira satu perempat berbanding 91,481 kes pada 2019.

Mengulas perkara itu, Khan memuji hasil operasi peningkatan penguatkuasaan di kawasan tertentu termasuk West End, lokasi tumpuan pelancong di tengah London.

“Kami memperketatkan penguatkuasaan,” katanya sambil menggesa syarikat telefon mudah alih mengambil langkah lebih tegas.

“Mengapa tidak diwujudkan ‘kill switch’ supaya telefon yang dicuri menjadi tidak berguna, termasuk menyekat akses kepada storan awan?” katanya.- AFP