Rusia teruskan serangan terhadap Ukraine

Kerosakan di kawasan kediaman susulan serangan dron di Belgorod/ Foto AFP

MOSCOW, 26 Oktober – Rusia tidak akan memperlahankan serangan ketenteraannya ke atas Ukraine meskipun rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) bakal disambung, namun bersedia mempertimbangkan gencatan senjata sementara atas dasar kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kremlin sedia mempertimbangkan gencatan senjata kemanusiaan jangka pendek di sepanjang barisan hadapan.
  • Gencatan senjata di Oleshky dijadual bermula selepas usaha Melania Trump menyorot kekurangan makanan, air dan ubat.
  • Rusia meningkatkan serangan ke atas kemudahan tenaga berhampiran bandar utama untuk mengganggu bekalan elektrik dan pemanasan musim sejuk.

Kremlin memaklumkan, Rusia bersedia mempertimbangkan gencatan senjata kemanusiaan jangka pendek di sepanjang barisan hadapan, menjelang gencatan senjata di bandar Oleshky yang diduduki Rusia.

Gencatan senjata di bandar di selatan Ukraine itu dijadual bermula pada Selasa, hasil usaha wanita pertama AS, Melania Trump, selepas beberapa bulan laporan mengenai penduduk yang berdepan kekurangan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan yang serius.

Ketika ditanya sama ada Rusia akan mempertimbangkan gencatan senjata setempat yang lain, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata langkah itu boleh dipersetujui atas tujuan kemanusiaan.

“Keputusan untuk menyambung semula rundingan tiga pihak tidak akan mengehadkan operasi ketenteraan Rusia. Angkatan tentera kami terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap kompleks ketenteraan Ukraine,” kata Peskov.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Rusia meningkatkan serangan ke atas Ukraine termasuk menyasarkan kemudahan tenaga berhampiran bandar-bandar utama.

Kiev mendakwa serangan itu bertujuan menyebabkan Ukraine mengalami kesejukan dan gangguan bekalan elektrik sepanjang musim sejuk.

Serangan tahun lalu menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan elektrik dan pemanasan ketika suhu mencecah serendah -20 darjah Celsius.

Kedua-dua pihak dijadual bertemu utusan AS bulan depan bagi membincangkan usaha menamatkan konflik paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, beberapa pusingan rundingan terdahulu gagal membawa kedua-dua pihak lebih hampir kepada persetujuan.

Rusia menuntut penguasaan wilayah tambahan di timur Ukraine serta sekatan ketenteraan dan politik yang menyeluruh terhadap Kiev.

Ukraine dan sekutunya pula menyifatkan tuntutan itu sebagai bentuk penyerahan kalah yang boleh mendedahkan negara berkenaan kepada risiko serangan Rusia pada masa hadapan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.