
MOSCOW, 11 Jun – Rusia menarik balik larangan terhadap platform permainan popular Roblox selepas puluhan ribu kanak-kanak dan ibu bapa menghantar aduan berhubung sekatan tersebut.
- Roblox melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak, termasuk mekanisme mengehadkan akses permainan mengikut kumpulan umur.
- Rusia menyekat Roblox pada Disember lalu, mendakwa platform itu menyebarkan bahan ekstremis dan mempromosi apa yang disifatkan sebagai propaganda LGBT.
- Roblox mempunyai kira-kira 100 juta pengguna aktif harian, dengan sekitar 40 peratus adalah kanak-kanak bawah 13 tahun.
Platform yang membolehkan pengguna membina permainan sendiri dan berkongsi dengan pemain lain itu merupakan antara permainan mudah alih paling popular di Rusia.
Menurut firma keselamatan siber berpangkalan di Moscow, Kaspersky Lab, Roblox berada di kedudukan ketiga dari segi tempoh penggunaan dalam kalangan kanak-kanak pada awal 2025, sebaris dengan TikTok.
Kementerian Pembangunan Digital Rusia menerusi kenyataan memaklumkan, Roblox telah melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak, termasuk memperkenalkan mekanisme yang mengehadkan akses permainan mengikut kumpulan umur.
“Roblox juga komited untuk terus membanteras penyebaran kandungan yang tidak diingini di platform tersebut,” menurut kenyataan itu.
Rusia menyekat akses kepada platform milik syarikat Amerika Syarikat itu pada Disember lalu dengan alasan ia menyebarkan bahan berunsur ekstremis dan mempromosikan apa yang disifatkan sebagai “propaganda LGBT”.
Jurucakap Roblox ketika itu berkata syarikat berkenaan komited terhadap aspek keselamatan serta menghormati undang-undang dan peraturan tempatan.
Ketua badan pemantauan internet tajaan kerajaan Rusia, Ekaterina Mizulina, memaklumkan bahawa beliau menerima kira-kira 63,000 e-mel daripada pelajar sekolah dan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan larangan tersebut.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada sudah tiba masanya untuk mencari pendekatan lain bagi menangani pedofilia dan pihak yang menyasarkan kanak-kanak dalam talian,” katanya.
Menurut Roblox, platform itu mempunyai sekitar 100 juta pengguna aktif setiap hari, dengan kira-kira 40 peratus daripada pengguna pada 2024 terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.
Roblox turut diharamkan di beberapa negara lain termasuk Qatar, Iraq dan Turkiye, kebanyakannya atas kebimbangan berkaitan keselamatan kanak-kanak. Di Amerika Syarikat pula, negeri Texas dan Louisiana pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap aplikasi tersebut atas isu sama.
Rusia sebelum ini berulang kali memberi amaran untuk menyekat laman sesawang milik syarikat asing, yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai usaha lebih meluas pihak berkuasa untuk mengawal dan memantau penggunaan internet.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata pembukaan semula akses kepada Roblox menunjukkan semua perkhidmatan digital boleh kembali beroperasi di Rusia sekiranya mematuhi undang-undang negara itu.- AFP