
BANGKOK, 11 Jun – Mahkamah Thailand hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki Uyghur warga China yang didapati bersalah melancarkan serangan bom di Kuil Erawan, Bangkok pada 2015, yang mengorbankan 20 nyawa dalam insiden pengeboman paling dahsyat dalam sejarah negara itu.
- Mahkamah mensabitkan mereka atas tuduhan membunuh dengan niat dan cubaan membunuh kerana menanam bahan letupan di Kuil Erawan.
- Letupan mengakibatkan lebih 100 orang cedera, termasuk tujuh pelancong China antara mangsa yang maut.
- Peguam akan mengemukakan rayuan, mendakwa beberapa aspek kes dan layanan terhadap tertuduh tidak dipertimbangkan sepenuhnya.
- China menyambut baik keputusan; isu repatriasi etnik Uyghur dan tuduhan pelanggaran hak asasi mencetuskan perdebatan antarabangsa.
Mahkamah di Bangkok mensabitkan kedua-dua berkenaan bersalah atas pertuduhan membunuh dengan niat serta cubaan membunuh kerana peranan mereka menanam bahan letupan di kuil popular yang terletak di pusat komersial ibu negara Thailand itu.
Letupan tersebut menggegarkan kawasan tumpuan pelancong dan penganut yang sedang berkumpul di lokasi berkenaan, menyebabkan lebih 100 orang cedera.
Tujuh pelancong warga China merupakan antara mangsa yang maut apabila bahan letupan yang dipercayai ditinggalkan di dalam sebuah beg galas meledak.
“Perbuatan tertuduh merupakan satu tindakan yang melanggar beberapa undang-undang. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat yang diperuntukkan, iaitu hukuman mati,” kata seorang daripada empat hakim yang membacakan keputusan kes tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan satu lagi insiden letupan di sebuah jeti di Bangkok.
Peguam kedua-dua tertuduh, Choochat Kanpai, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kerana terdapat beberapa aspek kes yang didakwa tidak dipertimbangkan sepenuhnya oleh mahkamah, termasuk layanan terhadap tertuduh sepanjang prosiding.
Perbicaraan yang berlarutan hampir sedekad itu berdepan pelbagai kelewatan akibat pandemik COVID-19 serta masalah mendapatkan jurubahasa.
Serangan berkenaan berlaku beberapa minggu selepas kerajaan tentera Thailand ketika itu menghantar pulang secara paksa 109 etnik Uyghur ke China, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pengeboman tersebut merupakan tindakan balas terhadap langkah berkenaan.
China menyambut baik keputusan mahkamah itu. Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, pelaku serangan tersebut bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“China menyokong Thailand menjalankan perbicaraan mengikut undang-undang serta mengenakan hukuman tegas terhadap pembunuh terbabit,” katanya.
Sejurus selepas pengeboman itu, polis Thailand menamakan 17 suspek, namun hanya dua individu berkenaan berjaya ditahan pada peringkat awal siasatan.
Pihak berkuasa Thailand ketika itu menerima kritikan berhubung siasatan yang didakwa kurang telus dan dilihat semakin perlahan selepas penahanan kedua-dua lelaki tersebut.
Kedua-duanya mula dibicarakan pada 2016 atas tuduhan menanam bahan letupan berkenaan.
Pada 2017, seorang wanita Thailand, Wanna Suansan, turut ditahan sebaik tiba di Bangkok berdasarkan waran tangkap yang dikaitkan dengan serangan itu.
Beliau didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh, bersubahat dalam pembunuhan serta memiliki bom dan senjata, namun dibebaskan pada 2024.
Etnik Uyghur merupakan kumpulan minoriti berketurunan Turki yang kebanyakannya berasal dari wilayah Xinjiang di barat China.
China sebelum ini berdepan tuduhan menahan lebih sejuta etnik Uyghur dan penganut Islam lain sejak 2017 dalam kempen yang menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkemungkinan melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan.
Bagaimanapun, Beijing menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dasar yang dilaksanakan berjaya membendung ekstremisme serta merancakkan pembangunan ekonomi di Xinjiang.
Pada Februari 2025, Thailand sekali lagi menghantar pulang puluhan etnik Uyghur ke China meskipun menerima amaran daripada kumpulan hak asasi manusia bahawa mereka berisiko berdepan penganiayaan, sekali gus mengundang kecaman daripada PBB.
Kuil Erawan kekal menjadi destinasi popular pelancong China dan antarabangsa. Pada hari keputusan mahkamah diumumkan, puluhan pengunjung masih mengunjungi kuil itu untuk membuat persembahan tradisional.- AFP