
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji, yang meninggal dunia pada usia 98 tahun.
- Anwar memuji Zhu sebagai arkitek utama transformasi ekonomi China dan pendorong kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi.
- Mereka bekerjasama pada era 1990-an memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan Malaysia-China, mewujudkan legasi hubungan berterusan.
- Anwar kenang detik peribadi bersama, sifatkan Zhu negarawan berkaliber bertanggungjawab, dan sampaikan takziah kepada keluarga serta rakyat China.
Beliau menyifatkan mendiang sebagai antara tokoh utama dan arkitek penting dalam transformasi ekonomi China, selain seorang sahabat baik beliau.
“China telah kehilangan salah seorang arkitek hebat dalam transformasi ekonominya, dan saya kehilangan seorang sahabat baik.
“Pembaharuan yang dibawakan oleh Zhu membantu memacu kebangkitan luar biasa China sebagai kuasa besar ekonomi,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Mengimbau kenangan bersama mendiang, Perdana Menteri berkata mereka pernah bekerjasama pada era 1990-an untuk memeperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dan China, yang menyaksikan legasi tersebut terus memperkukuh hubungan kedua-dua negara hingga ke hari ini.
Menurut Perdana Menteri, ingatan beliau terhadap mendiang turut merangkumi detik-detik peribadi yang berharga sepanjang perkenalan mereka.
“Beliau yang mengaturkan lawatan saya ke kampung halaman Confucius, Gunung Tai (Tai Shan) yang indah, serta tapak bersejarah yang berkaitan dengan Laksamana Zheng He.
Beliau turut menyifatkan Zhu sebagai seorang negarawan berkaliber yang dipandu oleh rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap negaranya.
“Zhu merupakan seorang negarawan yang hebat, namun saya akan mengenangnya terutamanya sebagai seorang yang mempunyai keperibadian tinggi dan didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam kepada negaranya.
“Salam takziah saya tujukan kepada isteri, anak-anak mendiang, serta seluruh rakyat China,” tambah beliau.