
DUBAI, 4 Mac – Keadaan lalu lintas dilaporkan seperti biasa di lebuh raya Dubai meskipun konflik di Asia Barat memasuki hari kelima terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
- Serangan balas Iran mengenai beberapa negara Teluk termasuk UAE menyebabkan kebakaran tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
- Penduduk UAE kini biasa mendengar letupan harian dan melihat pesawat rondaan kerap di udara.
- Ketidaktentuan menjejaskan semangat pekerja dan keluarga, sambil maklumat palsu meningkatkan kebimbangan di kalangan diaspora.
- Konflik menggugat pasaran global dan pelancongan, menyebabkan pembatalan lebih 20,000 penerbangan dan usaha membawa pulang warga terjejas.
Serangan balas Iran dilaporkan mengenai beberapa negara utama Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyebabkan kebakaran.
Pejabat Media Dubai pada Selasa memaklumkan pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran kecil berhampiran kawasan Konsulat Amerika Syarikat di Dubai akibat serangan dron, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Penduduk UAE, Abdulrahman Tassadaq berkata situasi berkenaan sesuatu yang tidak pernah dialaminya sepanjang lebih dua dekad menetap di negara itu.
“Malam pertama agak menakutkan kerana ia sesuatu yang luar biasa. Saya tinggal di sini selama 22 tahun dan kami tidak pernah menjangka perkara ini akan berlaku. Kini kami mendengar letupan sekali-sekala dan ia seakan-akan menjadi kebiasaan kerana tiada apa yang berlaku di sekitar kami.
“Setiap pagi dan malam kami mendengar beberapa letupan. Pesawat juga kerap berlegar melakukan rondaan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Robin Thomas berkata mengekalkan semangat dalam kalangan pekerja serta keluarga merupakan cabaran dalam situasi tidak menentu.
“Pada masa sama, saya kekal positif. Kami mengikuti perkembangan berita daripada sumber yang dipercayai. Terdapat banyak maklumat palsu yang turut menimbulkan ketakutan, terutama dalam kalangan ahli keluarga saya di luar negara.
“Namun pagi ini ketika saya keluar berjoging, ia terasa seperti hari biasa,” katanya.
Konflik di Asia Barat itu susulan serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran. Akibat serangan berkenaan ia terus menggugat pasaran global dan sektor pelancongan dengan pembatalan lebih 20,000 penerbangan.
Kerajaan turut berusaha membawa pulang rakyat masing-masing yang terkandas di kawasan konflik.- REUTERS