
WASHINGTON, 9 April — Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menegaskan bahawa pelan gencatan senjata 10 perkara yang diterbitkan oleh Iran adalah tidak sama dengan syarat-syarat yang dipersetujui oleh White House bagi menghentikan peperangan buat sementara waktu.
- Pegawai kanan berkata dokumen 10 perkara Iran bukan rangka kerja yang sebenar atau sama seperti syarat dipersetujui White House.
- Pegawai enggan mengulas lanjut untuk menghormati proses diplomasi yang sedang berjalan.
- Kebimbangan gencatan senjata dinyatakan rapuh selepas pengisytiharan lewat Selasa dan had masa ditetapkan Presiden Trump.
- Pelan Iran menyebut kawalan Selat Hormuz, penamatan sekatan antarabangsa dan penerimaan pengayaan uranium, bercanggah dengan tuntutan Washington.
“Dokumen yang dilaporkan oleh saluran media bukanlah rangka kerja kerja yang sebenar,” kata pegawai kanan itu yang enggan dikenali.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dengan menyatakan, “Kami tidak akan berunding secara terbuka bagi menghormati proses (diplomasi) yang sedang berjalan.”
Kenyataan tersebut menambah kebimbangan mengenai kerapuhan gencatan senjata yang diisytiharkan lewat Selasa, hanya beberapa jam sebelum tempoh tamat yang ditetapkan oleh Presiden Donald Trump untuk Iran memenuhi tuntutan AS atau berhadapan dengan apa yang dipanggilnya sebagai penamat kepada “seluruh tamadun” negara itu.
Trump sebelum ini dalam pengisytiharan gencatan senjata selama dua minggu bagi rundingan lanjut menyatakan telah menerima cadangan 10 perkara daripada Iran, dan percaya ia adalah asas yang munasabah untuk dirundingkan.
Bagaimanapun, media kerajaan Iran kemudiannya menerbitkan pelan 10 perkara yang antara lainnya merangkumi kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz yang strategik, penamatan sekatan antarabangsa terhadap negara itu, serta “penerimaan” terhadap aktiviti pengayaan uranium.
Perkara-perkara tersebut dilihat bercanggah dengan kenyataan terbuka Washington mengenai tuntutan yang mahu dikenakan terhadap Iran. -AFP