PBB bimbang ketegangan di rantau Teluk meningkat

FOTO REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 4 Jun – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di rantau Teluk selepas serangan Iran ke atas Kuwait yang menyebabkan kerosakan di lapangan terbang serta mencederakan puluhan individu, selain operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Agung amat bimbang terhadap peningkatan pertempuran antara AS dan Iran serta laporan serangan ke atas Kuwait dan Bahrain.
  • Beliau risau tentang korban orang awam dan menyeru semua pihak menahan diri sepenuhnya.
  • PBB menegaskan kedaulatan serta integriti wilayah semua negara perlu dihormati.
  • Gencatan senjata rapuh sejak April; keganasan masih mengganggu usaha membuka semula Selat Hormuz.

Dalam taklimat media pada Rabu, Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, memaklumkan bahawa Setiausaha Agung Antonio Guterres amat bimbang dengan peningkatan pertempuran antara AS dan Iran serta laporan serangan ke atas Kuwait dan Bahrain.

“Setiausaha agung bimbang dengan laporan pertukaran tembakan antara AS dan Iran serta laporan bahawa Iran menyasarkan Kuwait dan Bahrain.

“Beliau juga amat bimbang dengan laporan korban dalam kalangan orang awam,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya menahan diri sepenuhnya dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh menjejaskan usaha diplomatik yang sedang dijalankan, selain menegaskan bahawa kedaulatan serta integriti wilayah semua negara perlu dihormati.

Ketegangan di rantau itu kembali memuncak sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran pada Februari lalu, yang mencetuskan beberapa siri serangan balas di kawasan Teluk.

Walaupun terdapat gencatan senjata yang rapuh sejak April, insiden keganasan masih berlaku dari semasa ke semasa, sekali gus menjejaskan usaha membuka semula Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak dunia. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.