Parlimen Iran luluskan Mehrdad Akhlaqi sebagai Menteri Pertahanan baharu

Foto janaan AI/ RTM

ISTANBUL, 18 Oktober – Parlimen Iran meluluskan pelantikan Mehrdad Akhlaqi Ketabchi sebagai Menteri Pertahanan yang baharu negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akhlaqi mendapat 237 undi sokongan dan 15 undi penentangan tanpa undi berkecuali.
  • Beliau menggantikan Aziz Nasirzadeh, terbunuh dalam serangan awal AS dan Israel pada 28 Februari.
  • Akhlaqi beri amaran kepada Presiden AS dan kata Iran ambil langkah hadapi kemungkinan penggunaan bom MOAB; utamakan pengeluaran pertahanan, penyelidikan dan penyusunan semula kementerian.

Akhlaqi memperoleh sebanyak 237 undi menyokong dan 15 undi menentang dengan tiada undi berkecuali daripada keseluruhan 227 undi dalam persidangan Parlimen yang berlangsung pada Ahad.

Proses undian tersebut dibuat selepas ahli-ahli Parlimen selesai berhujah mengenai pelantikan Akhlaqi serta meneliti perancangannya bagi Kementerian Pertahanan.

Akhlaqi menggantikan Aziz Nasirzadeh yang terbunuh dalam serangan awal Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari.

Majid Ebn al-Reza sebelum ini menjalankan tugas sebagai pemangku Menteri Pertahanan susulan kematian Nasirzadeh.

Dalam kenyataan pertamanya selepas memperoleh kelulusan Parlimen, Akhlaqi berkata Iran telah mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kemungkinan tindakan AS menggunakan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast (MOAB), yang dikenali sebagai “Mother of All Bombs” terhadap negara itu.

“Kita telah mengambil langkah yang perlu bagi menghadapi tindakan AS dan meneruskan usaha kita dengan penuh keyakinan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran bahawa Presiden AS, Donald Trump sepatutnya bimbang mengenai tindakan mengeluarkan tenteranya daripada rantau ini dengan selamat.

“Jika Trump menggugurkan satu bom, dia perlu mempertimbangkan berapa ramai tenteranya akan dibawa keluar secara mengiring,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kemungkinan korban dalam kalangan anggota tentera AS.

Akhlaqi berkata, antara keutamaannya ialah memperluas pengeluaran pertahanan menerusi rangkaian industri Iran, memperkukuh penyelidikan serta menyesuaikan struktur Kementerian Pertahanan dengan ancaman keselamatan semasa.

Akhlaqi, yang merupakan pegawai kanan Kementerian Pertahanan sejak sekian lama, sebelum ini mengetuai Organisasi Industri Aeroangkasa Iran dan dikenakan sekatan oleh AS berhubung penglibatannya dalam aktiviti berkaitan peluru berpandu Iran.-BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.