Panama, El Salvador salur bantuan kemanusiaan kepada Venezuela

Pusat pengumpulan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Venezuela/ REUTERS

PANAMA, 26 Jun – Panama membuka dua pusat kutipan sumbangan di ibu negaranya, Panama City, pada Khamis bagi mengumpul bantuan untuk mangsa gempa bumi di Venezuela.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panama mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat dihantar segera ke Venezuela untuk membantu operasi menyelamat.
  • Sukarelawan mengumpul, mengasing dan membungkus makanan, ubat, lampin dan barangan kebersihan untuk penerbangan kemanusiaan pertama.
  • El Salvador menghantar 300 penyelamat, paramedik dan 50 tan bantuan untuk mencari mangsa, rawatan perubatan dan sokongan operasi kecemasan.

Presiden Panama, Raul Mulino berkata, beliau turut mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat negara itu dihantar ke Venezuela secepat mungkin bagi membantu operasi menyelamat.

Orang ramai membawa makanan dan pelbagai barangan keperluan ke Dewan Bandaraya Panama City, sebelum disusun sukarelawan untuk dihantar kepada mangsa.

Selain makanan, sumbangan yang diterima termasuk ubat-ubatan, lampin pakai buang, barangan kebersihan diri dan kelengkapan pembersihan.

Pengarah Projek di Pejabat Wanita Pertama Panama, Estela Alvarado berkata, sukarelawan dari Panama dan Venezuela berganding bahu menerima, mengasingkan serta membungkus bantuan yang akan dihantar menerusi penerbangan kemanusiaan pertama ke Venezuela.

Menurutnya, walaupun cuaca kurang baik, rakyat Panama tetap tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa bencana.

Sementara itu, El Salvador menghantar 300 anggota penyelamat dan paramedik ke Venezuela bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Kerajaan El Salvador turut menghantar 50 tan bantuan kemanusiaan yang merangkumi ubat-ubatan dan barangan keperluan asas.

Pengarah Cruz Verde di La Libertad, Erick Portillo berkata, keutamaan pasukan itu adalah mencari mangsa yang masih hidup dalam tempoh kritikal selepas gempa bumi.

Seorang anggota Palang Merah El Salvador, Evelyn Cartagena berkata, misi tersebut melibatkan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR), sukarelawan, petugas perubatan serta pakar mencari dan menyelamat.

Misi itu turut bertujuan memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera serta memperkukuh keupayaan pihak berkuasa Venezuela dalam menguruskan operasi kecemasan di kawasan terjejas.

Usaha bantuan itu menyusuli gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada Rabu, sekali gus mendorong beberapa negara serantau dan komuniti diaspora menggerakkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.