
WELLINGTON, 24 Ogos – Kerajaan New Zealand akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian di Parlimen pada Isnin bagi melarang golongan bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial.
- Denda sehingga 10 peratus dari pendapatan tahunan global bagi platform yang gagal mematuhi peraturan keselamatan dalam talian.
- Platform wajib mengesahkan umur pengguna melalui maklumat akaun, anggaran umur pengenalan wajah, perkhidmatan identiti digital dan dokumen rasmi.
- Rang Undang-Undang mewajibkan penilaian risiko, laporan langkah mitigasi dan tidak mengenakan penalti kepada kanak-kanak atau penjaga.
Rang undang-undang itu mencadangkan denda sehingga 10 peratus daripada pendapatan tahunan global syarikat, sekiranya platform media sosial gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Perdana Menteri Christopher Luxon menegaskan, negara tidak boleh menerima kemudaratan yang sedang menimpa satu generasi kanak-kanak New Zealand.
“Seorang daripada tiga kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun kini menghabiskan sekurang-kurangnya lima jam sehari di media sosial.
“Media sosial mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya, teknologi yang menyebabkan ketagihan serta tekanan yang tidak mampu mereka hadapi, dan keadaan ini menjejaskan kehidupan keluarga, kesihatan mental, tidur serta pendidikan mereka,” katanya.
Luxon secara khusus menyebut Instagram, TikTok, Snapchat dan Facebook, yang akan diwajibkan mengambil langkah munasabah untuk memastikan pengguna platform itu berusia lebih 16 tahun.
Platform berkenaan perlu menggunakan maklumat akaun sedia ada, anggaran umur melalui pengecaman wajah, perkhidmatan identiti digital dan dokumen pengenalan rasmi bagi mengesahkan umur pengguna.
Selain itu, ia turut diwajibkan menilai risiko yang ditimbulkan serta melaporkan langkah yang diambil bagi mengurangkan risiko berkenaan, dengan penalti akan dikenakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi peraturan.
Menurut Menteri Pendidikan New Zealand Erica Stanford, rang undang-undang tersebut meletakkan kewajipan undang-undang ke atas penyedia platform.
“Tiada penalti dicadangkan terhadap kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga mereka,” kata Stanford.
Belum dapat dipastikan sama ada rang undang-undang itu akan diluluskan kerana kedua-dua rakan gabungan Parti Nasional, iaitu Parti ACT dan NZ First telah menyuarakan bantahan.
Disember lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, termasuk menyekat akses mereka kepada platform seperti TikTok, YouTube milik Alphabet serta Instagram dan Facebook milik Meta. -AFP