Mahkamah Israel lanjut tahanan dua aktivis flotila bantuan ke Gaza

Aktivis Sepanyol Saif Abu Keshek tiba di mahkamah di Ashkelon/ AFP


ASHKELON, 4 Mei
– Mahkamah Israel pada Ahad memutuskan untuk melanjutkan tempoh tahanan dua aktivis asing selama dua hari selepas mereka ditahan ketika menyertai flotila bantuan ke Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua aktivis, warga Sepanyol dan Brazil, dibawa ke Israel untuk siasatan; lebih 100 aktivis lain dihantar ke Crete.
  • Peguam menafikan pertuduhan dan dakwa klien mengalami keganasan, digari serta ditutup mata.
  • Kerajaan Brazil dan Sepanyol anggap penahanan tidak sah; Israel menuduh penganjur flotila provokatif dan pertahankan sekatan laut ke atas Gaza.

Dua aktivis terbabit, warga Sepanyol Saif Abu Keshek dan warga Brazil Thiago Avila, dibawa ke Israel untuk siasatan, manakala lebih 100 aktivis lain dihantar ke Crete.

Kumpulan hak asasi Adalah yang membantu pembelaan kedua-dua aktivis itu memaklumkan pihak berkuasa Israel pada awalnya memohon lanjutan tahanan selama empat hari. Israel mendakwa kedua-dua aktivis terlibat dengan kesalahan berkaitan keselamatan.

Peguam kedua-dua aktivis, Hadeel Abu Salih, bagaimanapun menegaskan anak guamnya menafikan semua pertuduhan.

Beliau turut mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan ketika dalam perjalanan ke Israel serta digari dan ditutup mata sehingga pagi Khamis, 30 April.

Kementerian Luar Israel menolak dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Brazil dan Sepanyol dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat menyifatkan penahanan itu sebagai tidak sah.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel menuduh penganjur flotila sebagai pencetus provokasi dan menegaskan bahawa Israel tidak akan membenarkan sebarang cubaan untuk melanggar sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza.-REUTERS