Maduro gesa Trump hentikan ‘rampasan kuasa CIA’ di Venezuela

CARACAS, 16 Oktober – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menggesa rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, supaya menghentikan apa yang digelarnya sebagai “rampasan kuasa CIA”, susulan ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara pada Rabu.

Maduro menyuarakan gesaan itu ketika berucap pada majlis Majlis Kebangsaan Kedaulatan dan Keamanan, lapor media tempatan Venezuela.

Tegas Maduro, tindakan Washington itu menunjukkan niat sebenar Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam urusan dalaman Venezuela.

Terdahulu, Trump mengesahkan beliau telah memberi kebenaran kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menjalankan operasi rahsia di Venezuela, sekali gus menandakan peningkatan ketara dalam tekanan Washington terhadap pentadbiran Maduro.

Akhbar The New York Times melaporkan, arahan sulit itu merupakan sebahagian strategi pentadbiran Trump untuk menyingkirkan Maduro daripada tampuk kuasa.

Ketika ditanya alasan di sebalik keputusan tersebut, Trump memberitahu pemberita bahawa ia berpunca daripada isu migrasi rakyat Venezuela ke Amerika Syarikat serta aktiviti penyeludupan dadah.

Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil, dalam kenyataan berasingan berkata, Caracas memandang serius langkah itu yang disifatkan cuba menghalalkan operasi pertukaran rejim bagi tujuan merampas sumber minyak negara tersebut.- REUTERS