
NEW DELHI, 10 Julai – Bermula dengan minat mengumpul setem ketika berusia lapan tahun, seorang lelaki di Kerala, India kini memiliki kira-kira 100,000 setem bertemakan Piala Dunia FIFA.
- Koleksi merangkumi sejarah hampir satu abad Piala Dunia, termasuk setem yang dikeluarkan sejak edisi pertama 1930.
- Menghimpunkan setem negara tuan rumah, juara dunia dan negara terkenal dengan sukan bola sepak.
- Setem Argentina Piala Dunia 2022 dianggap paling bernilai; tiba selepas hampir empat tahun dihantar terus dari Amerika Selatan.
- Setem Lionel Messi sukar diperoleh kerana keluaran terhad, memerlukan jaringan dengan pengumpul dari pelbagai negara.
Koleksi milik Sarin Kumar itu menghimpunkan sejarah hampir satu abad kejohanan bola sepak paling berprestij dunia, merangkumi setem yang dikeluarkan sejak Piala Dunia pertama pada 1930.
Dia yang berasal dari Kozhikode berkata, koleksinya menghimpunkan setem yang dikeluarkan negara tuan rumah, juara dunia serta negara yang terkenal dengan sukan bola sepak.
Antara koleksi istimewanya ialah setem sempena memperingati kejayaan Argentina menjuarai Piala Dunia FIFA 2022, selain setem kemenangan Uruguay pada 1930 serta Itali pada 1934 dan 1938.
Menurut Kumar, setem Argentina yang diterimanya selepas menunggu hampir empat tahun merupakan koleksi paling bernilai kerana dihantar terus dari negara Amerika Selatan itu.
“Setem itu dikeluarkan kerajaan Argentina sebagai penghormatan kepada skuad juara Piala Dunia. Saya menunggunya hampir empat tahun sebelum berjaya memilikinya,” katanya.
Beliau mengakui mendapatkan setem bintang Argentina, Lionel Messi bukan sesuatu yang mudah kerana pengeluarannya terhad dan memerlukan rangkaian komunikasi dengan pengumpul dari pelbagai negara.
Kumar mula mengumpul setem ketika berusia lapan tahun dengan koleksi pertama bertemakan Mahatma Gandhi sebelum mengembangkan minatnya kepada sejarah bola sepak dunia.
Koleksi unik Kumar menjadikannya antara pengumpul setem bola sepak paling dikenali di Kerala, kerana mengabadikan detik-detik bersejarah Piala Dunia – VIORY