ISTANBUL, 2 Januari – Kira-kira 520,000 orang berhimpun di Jambatan Galata, Istanbul pada awal pagi Khamis, hari pertama Tahun Baharu bagi menyertai perarakan besar-besaran menyokong Palestin, yang dianjurkan di bawah payung Humanity Alliance dan National Will Platform, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Lebih 520,000 peserta berhimpun di Jambatan Galata bagi perarakan solidariti menyokong Palestin.
- Perarakan dianjurkan oleh Humanity Alliance, National Will Platform dan TUGVA, disertai lebih 400 pertubuhan.
- Peserta menggesa hentikan genosid di Gaza; acara dijalankan dengan langkah keselamatan ketat dan kehadiran pimpinan rasmi.
Perarakan itu, yang disertai lebih 400 pertubuhan masyarakat sivil dan diterajui Yayasan Belia Turkiye (TUGVA), diadakan dengan slogan “We won’t cower, we won’t keep quiet, we won’t forget Palestine.
Para peserta menggesa agar genosid di Gaza dihentikan.
Menjelang acara itu, orang ramai berhimpun selepas solat Subuh di masjid-masjid utama di seluruh Istanbul, termasuk Masjid Besar Hagia Sophia, Sultanahmet, Fatih, Suleymaniye dan Masjid Baharu Eminonu. Ramai peserta membawa bendera Turkiye dan Palestin sebagai tanda solidariti.
Walaupun cuaca sangat sejuk, kehadiran orang ramai adalah tinggi.Langkah keselamatan yang ketat dilaksanakan, khususnya di sekitar Dataran Sultanahmet, manakala para peserta turut disediakan minuman panas.
Selepas solat Subuh, para peserta berarak menuju ke Jambatan Galata, disertai oleh menteri-menteri, pegawai kanan kerajaan serta tokoh yang tersenarai dalam protokol rasmi negara. Program itu secara rasmi bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan (0530 GMT).
Satu sepanduk besar yang memaparkan “Hanzala”, watak ikonik ciptaan kartunis Palestin Allahyarham Naji al-Ali yang sinonim dengan perjuangan rakyat Palestin, turut digantung pada sebuah bangunan berhampiran pentas utama.- BERNAMA-ANADOLU