
SEOUL, 24 Februari – Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengadakan rundingan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, di sini pada Isnin dan kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam beberapa sektor utama.
- Perkongsian diperluas merangkumi perdagangan, mineral penting, teknologi dan kebudayaan untuk tingkatkan hubungan dua hala.
- Brazil tawar rizab nadir bumi besar dan simpanan nikel untuk tarik pelaburan syarikat Korea Selatan.
- 10 MoU dimeterai termasuk ekonomi digital, AI, pertanian, kesihatan, bioteknologi dan kerjasama keselamatan melibatkan jenayah siber.
Menurut Presiden Lee rundingan itu melibatkan bidang perdagangan, mineral penting, teknologi dan kebudayaan, selain perancangan untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua negara akan bekerjasama bagi menyokong kestabilan di Semenanjung Korea.
Sementara itu, Lula berkata Brazil memiliki rizab nadir bumi kedua terbesar di dunia dan simpanan nikel yang besar serta kerajaannya berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat-syarikat Korea Selatan.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian 10 memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama dalam dasar perdagangan dan perindustrian, mineral penting serta ekonomi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
MoU berkenaan juga melibatkan sektor pertanian, kesihatan dan bioteknologi, selain pertukaran perusahaan kecil dan sederhana.
Selain itu, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama penguatkuasaan bersama bagi menangani jenayah siber, narkotik serta ancaman rentas sempadan.-REUTERS