Konflik berterusan di Palestin ancam hidupan liar

Singa betina di zoo di Nuseirat, Gaza dipamerkan untuk tatapan pengunjung/ REUTERS

GAZA, 18 Ogos – Konflik berterusan di Palestin bukan sahaja meragut nyawa penduduk di wilayah itu, malah turut memberi kesan langsung terhadap haiwan yang terperangkap dalam kemelut peperangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zoo di Gaza berdepan cabaran besar mendapatkan makanan dan bekalan perubatan untuk haiwan.
  • Pemilik Mahmoud Gomaa memindahkan haiwan dan membuka semula zoo di Nuseirat untuk kanak-kanak trauma.
  • Haiwan kekurangan zat, ubat dan vaksin; beberapa mati atau hilang, termasuk tulang buaya dan burung unta.
  • Bunyi pengeboman dan kemusnahan menyebabkan trauma besar, singa menunjukkan tekanan serta kurang respons kepada pengunjung.

Sebelum serangan dilancarkan rejim Zionis ke atas wilayah itu, terdapat beberapa zoo di Gaza yang menempatkan pelbagai haiwan eksotik dan liar termasuk singa serta helang. Laporan berkenaan berdasarkan rekod pihak berkuasa tempatan.

Namun, usaha untuk memastikan zoo terus beroperasi kini berdepan cabaran besar, terutama dalam mendapatkan bekalan makanan di wilayah yang turut bergelut memenuhi keperluan makanan penduduk.

Pemilik zoo, Mahmoud Gomaa melakukan inisiatif dengan menyelamatkan haiwan berkenaan daripada terus terkesan dan menerima tempias serangan Israel.

Sebahagian besar haiwan di zoo itu mengalami kekurangan zat makanan dan semakin lemah akibat kekurangan makanan, ubat-ubatan serta vaksin.

Mahmoud Gomaa sebelum ini mengendalikan zoo berkenaan di bandar Rafah, selatan Gaza, namun terpaksa melarikan diri selepas tentera Israel menyerang dan menguasai sebahagian kawasan itu pada 2024.

Beliau memindahkan haiwan yang masih hidup dari satu lokasi ke lokasi lain sebelum menemukan tempat di Nuseirat, Gaza tengah, awal tahun ini.

Di situ, Mahmoud Gomaa membuka semula zoo berkenaan dengan harapan dapat memberikan ruang kepada kanak-kanak yang mengalami trauma untuk menikmati sedikit keceriaan selepas hampir tiga tahun berdepan kemusnahan.

“Pada awal perang, orang ramai mencari jalan untuk terus hidup… manakala saya mencari jalan untuk menyelamatkan haiwan lebih daripada menyelamatkan diri sendiri,” kata Gomaa.

Menurut doktor veterinar, Nidal Fadel, pemilik haiwan kini terpaksa memberi makan daging beku kepada haiwan berkenaan.

“Ini satu perkara negatif dan pelan pemakanan yang tidak betul kerana diketahui bahawa di habitat semula jadi, haiwan ini memakan mangsa dalam keadaan segar,” katanya.

Ketika Gomaa melarikan diri dari Rafah, beliau berkata terpaksa meninggalkan tiga ekor singa, beberapa ekor buaya dan burung unta Afrika.

Namun beberapa bulan kemudian, Gomaa kembali semula dan hanya menemukan tulang buaya serta burung unta berkenaan.

Tiga ekor singa yang dalam kurungan juga telah hilang. Selain kesan fizikal, haiwan turut berdepan trauma akibat bunyi dan kemusnahan konflik yang berlaku di Palestin.

Doktor veterinar, Amir Khalil, yang mengetuai beberapa misi ke Gaza menerusi pertubuhan kebajikan haiwan Four Paws dan menyelamatkan haiwan dari zoo lain, berkata singa mampu mengesan bunyi serta gangguan yang mungkin tidak disedari manusia.

“Serangan pengeboman dan konflik berterusan menyebabkan tekanan serta ketakutan yang amat besar kepada kumpulan haiwan berkenaan,” katanya.

Di Nuseirat, singa yang masih hidup itu hampir tidak menghiraukan kehadiran pengunjung.

Namun, usaha yang dilakukan Mahmoud Gomaa memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mendekati beberapa haiwan lain, termasuk burung kakak tua serta membelai beberapa ekor monyet kecil.

Ia menjadi peluang yang jarang berlaku untuk mereka berehat seketika di wilayah yang masih berdepan serangan udara secara berkala, meskipun gencatan senjata masih belum mencapai kesepakatan.

Pengunjung, Karam Al-Mazin, 42, berkata kanak-kanak kini hampir tidak mempunyai ruang untuk bermain.

“Hari ini tiada lagi tempat untuk kanak-kanak bermain. Yang ada hanyalah runtuhan, batu dan khemah, jadi kanak-kanak kini bosan dan berada dalam keadaan yang sukar,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.