Junta Myanmar ke Rusia tingkat kerjasama dua hala

Min Aung Hlaing/ REUTERS

MOSCOW, 18 Ogos – Ketua junta Myanmar yang kini menjadi Presiden, Min Aung Hlaing mengadakan kunjungan rasmi pertama beliau ke Rusia sejak memegang jawatan pada April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia membuka peluang kepada syarikat tenaga negara itu untuk beroperasi di Myanmar, termasuk perjanjian loji tenaga nuklear berskala kecil.
  • Tandatangan memorandum pelaburan bagi Zon Ekonomi Khas Dawei, termasuk pembinaan pelabuhan dan loji penapisan minyak.
  • Hubungan pertahanan mengukuh dengan latihan ketenteraan, biasiswa universiti dan pembekalan senjata kepada tentera Myanmar.
  • Min Aung Hlaing berdepan sekatan Barat sambil berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa selepas dipilih oleh Parlimen.

Beliau dijadual bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Selasa bagi membincangkan hubungan dua hala serta isu antarabangsa.

Bekas jeneral itu berdepan pelbagai sekatan yang dikenakan negara Barat dan berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sejak dipilih Parlimen sebagai Presiden, susulan pilihan raya yang didominasi parti yang disokong tentera.

Min Aung Hlaing sebelum ini melakukan empat lawatan ke Rusia ketika mengetuai junta, termasuk kunjungan pertama pada Jun 2021 bagi menghadiri persidangan keselamatan, lima bulan selepas rampasan kuasa.

Beliau turut mengadakan dua lawatan pada 2022 dan sekali lagi pada Mac 2025, ketika mengadakan rundingan rasmi dengan Putin di Moscow.

Rusia kini berusaha membuka peluang kepada syarikat tenaga negara itu untuk beroperasi di Myanmar.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk membangunkan loji tenaga nuklear berskala kecil di Myanmar ketika Min Aung Hlaing bertemu Putin pada 2025.

Rusia dan Myanmar turut menandatangani memorandum kerjasama pelaburan bagi Zon Ekonomi Khas Dawei yang terletak di lokasi strategik pada Februari 2025, termasuk pembinaan pelabuhan dan loji penapisan minyak.

Lawatan terbaharu Min Aung Hlaing turut merangkumi Forum Perniagaan Myanmar-Rusia.

Menurut media kerajaan, beliau disertai Ketua Menteri Wilayah Tanintharyi, lokasi Zon Ekonomi Khas Dawei, serta ketua agensi aeroangkasa Myanmar.

Hubungan pertahanan kedua-dua negara turut berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Moscow menyediakan latihan ketenteraan dan biasiswa universiti kepada ribuan anggota tentera Myanmar, selain membekalkan senjata kepada tentera negara itu yang dikenakan sekatan oleh beberapa negara Barat.

Rusia turut mengumumkan awal tahun ini bahawa pihaknya akan membantu melatih angkasawan pertama Myanmar.

Sebelum itu Min Aung Hlaing turut meletakkan kalungan bunga di makam askar berhampiran tembok Kremlin di Moscow sempena lawatan rasmi beliau ke Rusia.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.