
DAMSYIK, 20 November – Kementerian Kesihatan Syria sedang membuat persiapan melancarkan kempen vaksinasi berskala besar dengan sokongan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi kanak-kanak di wilayah timur Deir Ezzor daripada polio susulan pengesanan tiga kes penyakit itu.
- Kempen vaksinasi menyasarkan lebih 371,000 kanak-kanak bawah lima tahun.
- Kempen dijangka bermula pada 30 November.
- Polio kebanyakan menyerang kanak-kanak bawah lima tahun; satu dalam 200 menyebabkan kelumpuhan kekal, 5-10% yang lumpuh meninggal.
- WHO dan UNICEF berkata gangguan perkhidmatan dan kekurangan vaksinasi rutin mewujudkan jurang perlindungan dalam masyarakat tertentu.
Polio yang kebanyakannya menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun merupakan penyakit berjangkit.
Satu daripada setiap 200 jangkitan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal, manakala lima hingga 10 peratus daripada mereka yang lumpuh akibat penyakit itu meninggal dunia.
Bagaimanapun, penyakit berkenaan sebahagian besarnya berjaya dihapuskan di seluruh dunia hasil usaha imunisasi.
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit dan Tidak Berjangkit kementerian itu, Yasser al-Farouh berkata, kempen berkenaan menyasarkan lebih 371,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun di wilayah Deir Ezzor.
“Kementerian sedang membuat persiapan untuk melancarkan kempen vaksinasi menyeluruh bagi membendung polio yang menyasarkan lebih 371,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun di wilayah Deir Ezzor,” katanya.
Menurut agensi berita rasmi SANA, kempen itu dijangka bermula pada 30 November ini.
Kempen berkenaan dilaksanakan susulan pengesanan tiga kes polio, dengan pihak berkuasa mengklasifikasikan risiko penularan wabak sebagai tinggi.
Syria kini bangkit daripada konflik perang saudara berpanjangan yang memberi tekanan besar kepada sistem kesihatannya.
Dalam satu kenyataan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Syria, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) berkata, gangguan perkhidmatan kesihatan serta kesukaran mendapatkan vaksinasi rutin menyebabkan terdapat jurang perlindungan dalam kalangan masyarakat tertentu.
Menurut WHO, jumlah kes polio di seluruh dunia menurun lebih 99 peratus sejak 1988, daripada anggaran 350,000 kes di lebih 125 negara endemik kepada hanya dua negara endemik.
“Selagi masih terdapat seorang kanak-kanak yang dijangkiti, kanak-kanak di semua negara berisiko dijangkiti polio. Kegagalan menghapuskan polio di kawasan terakhir yang masih menjadi tempat penularannya boleh menyebabkan penyakit itu kembali merebak di seluruh dunia,” menurut WHO.
Syria pernah menyaksikan peningkatan semula kes polio secara singkat pada 2013, diikuti Iraq pada 2014.
Bagaimanapun, pelaksanaan kempen vaksinasi selama 18 bulan berjaya menurunkan semula jumlah kes kepada sifar. -AFP