
SYDNEY, 10 Januari – Ribuan anggota bomba dikerahkan di negeri Victoria bagi mengawal kebakaran belukar yang memusnahkan kediaman, memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu penduduk serta membakar kawasan hutan yang luas.
- Ribuan anggota bomba dikerah di Victoria untuk kawal kebakaran belukar yang meluas.
- Lebih 130 struktur musnah dan sekitar 38,000 premis terputus bekalan elektrik.
- Kebakaran membakar lebih 300,000 hektar; 10 kebakaran besar masih aktif.
- Kerajaan isytihar zon bencana; penduduk dipindahkan dan amaran gelombang haba berterusan.
Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran yang tercetus sejak pertengahan minggu lalu akibat gelombang haba melampau di tenggara Australia telah memusnahkan lebih 300,000 hektar kawasan belukar, dengan 10 kebakaran besar masih aktif di seluruh negeri.
Lebih 130 struktur termasuk rumah kediaman dilaporkan musnah, manakala kira-kira 38,000 premis kediaman dan perniagaan terputus bekalan elektrik akibat kebakaran berkenaan.
Pihak berkuasa menyifatkan kebakaran kali ini sebagai yang terburuk di Victoria sejak tragedi “Black Summer” 2019-2020 yang mengorbankan 33 nyawa serta memusnahkan kawasan seluas negara Turkiye.
Ketua Menteri Victoria Jacinta Allan berkata ribuan anggota bomba sedang bertungkus-lumus di lapangan bagi mengawal api dan mengekang kebakaran daripada terus merebak.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pula memberi amaran negara itu berdepan cuaca kebakaran yang amat berbahaya, khususnya di Victoria yang sebahagian besarnya diisytiharkan sebagai zon bencana.
Beliau berkata tumpuan utama ketika ini adalah keselamatan penduduk di kawasan terjejas yang berdepan situasi amat mencabar.
Salah satu kebakaran terbesar berhampiran bandar Longwood, kira-kira 112 kilometer di utara Melbourne, telah memusnahkan sekitar 130,000 hektar kawasan belukar serta merosakkan rumah, ladang anggur dan kawasan pertanian.
Puluhan komuniti berhampiran kawasan kebakaran telah dipindahkan, manakala taman negara dan tapak perkhemahan di Victoria ditutup sebagai langkah keselamatan.
Amaran gelombang haba masih berkuat kuasa di sebahagian besar Victoria, dengan amaran cuaca kebakaran turut dikeluarkan bagi negeri New South Wales dan Wilayah Ibu Negara Australia.-REUTERS