Jadi pengintip Israel, Iran hukum mati dua lelaki

Gambar hiasan

TEHRAN, 3 Ogos- Iran pada Isnin melaksanakan hukuman mati terhadap dua lelaki yang disabitkan kesalahan mengintip untuk Israel, menurut badan kehakiman negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Omid Behzad dan Pouria Safvat disabit mengintip, didakwa menyalurkan koordinat lokasi ketenteraan sensitif kepada ejen Mossad.
  • Kedua-dua tertuduh disabit atas mengintip dan bekerjasama dengan "rejim Zionis"; tarikh penahanan dan perbicaraan tidak dinyatakan.
  • Iran meningkatkan pelaksanaan hukuman mati sejak perang dengan Israel dan Amerika Syarikat bermula Februari.
  • NGO lapor sekurang-kurangnya 1,639 hukuman mati tahun lalu; Amnesty dan organisasi lain mengecam peningkatan.

Media badan kehakiman Iran, Mizan melaporkan Omid Behzad dan Pouria Safvat dihukum gantung selepas didapati menyalurkan koordinat lokasi ketenteraan dan keselamatan sensitif kepada ejen Mossad, agensi perisikan luar Israel.

Menurut Mizan, kedua-duanya disabitkan atas kesalahan mengintip dan bekerjasama dengan “rejim Zionis”, namun tidak dinyatakan bila mereka ditahan atau dibicarakan.

Iran meningkatkan pelaksanaan hukuman mati sejak perang dengan Israel dan Amerika Syarikat tercetus pada Februari dengan kebanyakan pesalah didakwa terbabit dalam aktiviti perisikan untuk Israel.

Menurut kumpulan hak asasi, termasuk Amnesty International, Iran merupakan negara kedua tertinggi di dunia melaksanakan hukuman mati selepas China.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Iran Human Rights (IHR) dan Together Against the Death Penalty (ECPM) melaporkan sekurang-kurangnya 1,639 hukuman mati dilaksanakan di Iran tahun lalu, jumlah tertinggi sejak 1989.

Minggu lalu, Amnesty International mengecam peningkatan pelaksanaan hukuman mati di Iran susulan hukuman gantung terhadap dua lelaki yang didapati bersalah terbabit dalam protes antikerajaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.