Isu Selat Hormuz dan Ukraine jadi agenda utama pertemuan Trump-Rutte

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte (kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat( AS), Donald Trump/REUTERS

WASHINGTON, 9 April – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijadual menerima kunjungan Ketua Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di White House pada Rabu, ketika hubungan kedua-duanya kini berada di tahap kritikal ekoran peperangan dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengancam menarik AS daripada NATO dan menuduh pakatan itu gagal menyokong kempen serangan AS-Israel ke Iran.
  • Trump menyeru negara bergantung minyak Asia Barat memecah sekatan Iran di Selat Hormuz; Rutte akan tekankan pemulihan perdagangan maritim.
  • Fokus AS ke Asia Barat membimbangkan Eropah kerana bekalan senjata ke Ukraine merosot; isu Greenland dan perbelanjaan pertahanan turut membebankan NATO.

Trump sebelum ini mengancam untuk menarik keluar AS daripada keanggotaan 32 negara sekutu transatlantik itu selain menyelar pakatan berkenaan yang didakwa gagal memberikan sokongan mencukupi dalam kempen serangan AS-Israel di Iran.

Ketegangan itu berlaku ketika Trump menyeru negara-negara yang bergantung kepada bekalan minyak dari Asia Barat untuk bersama-sama memecahkan sekatan Iran di Selat Hormuz.

Bagaimanapun, diplomat Eropah berpandangan negara-negara berkenaan berkemungkinan besar tidak akan menyertai sebarang misi ketenteraan selagi konflik berlarutan, meskipun gencatan senjata selama dua minggu baru sahaja dipersetujui semalam.

Penganalisis keselamatan menyifatkan situasi berkenaan sebagai “titik berbahaya” bagi NATO yang kini turut berdepan kebimbangan mengenai isu Ukraine, Greenland dan peningkatan perbelanjaan ketenteraan.

Dalam pertemuan itu, Rutte dijangka menyatakan komitmen untuk memulihkan perdagangan maritim global susulan lonjakan harga tenaga, selain cuba meyakinkan Trump untuk menghentikan kritikan terbuka terhadap NATO dengan mengetengahkan langkah-langkah peningkatan belanjawan pertahanan oleh Negara Eropah.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Trump berulang kali melabelkan NATO sebagai “harimau kertas” yang tidak membantu ketika diperlukan, malah tidak menolak kemungkinan untuk menarik keluar AS daripada perikatan yang dibentuk sejak 1949 itu.

Fokus melampau Washington terhadap Asia Barat turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah berhubung penyusutan bekalan senjata ke Ukraine yang kini menjadi keutamaan keselamatan rantau berkenaan.

Jurucakap White House, Anna Kelly berkata Presiden Trump kecewa dengan keengganan NATO untuk membantu dalam “Operasi Epic Fury” bagi memusnahkan ancaman Iran yang menurutnya turut memberi manfaat kepada pihak sekutu. – REUTERS