Iran serang pangkalan tentera AS

Pangkalan tentera AS di Manama, Bahrain diserang peluru berpandu Iran. Foto/Reuters

TEHRAN, 28 Februari – Pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara diserang peluru berpandu Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa pangkalan tentera AS di Bahrain, Abu Dhabi dan Kuwait diserang peluru berpandu Iran.
  • Serpihan peluru berpandu yang dipintas menyebabkan kematian seorang warganegara Asia dan kerosakan harta.
  • Iran mengaku melancarkan gelombang pertama serangan yang turut menyasarkan Israel.

Wartawan AFP di Manama, Bahrain melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di pangkalan tentera AS di negara itu sebaik Washington dan Israel melancarkan serangan di Tehran.

Situasi sama juga berlaku di pangkalan tentera AS di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Pertahanan UAE pula mengesahkan seorang maut di Abu Dhabi selepas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dipintas.

Menyaksikan serpihan peluru berpandu itu jatuh di kawasan perumahan sehingga menyebabkan kerosakan harta benda serta mengorbankan seorang warganegara Asia.

Di Doha, beberapa letupan kedengaran selepas Kementerian Pertahanan Qatar mengesahkan telah memintas beberapa serangan peluru berpandu yang menyasarkan negara Teluk itu.

Letupan kedengaran di bahagian tengah Doha dan berhampiran pangkalan tentera Al-Udeid, kemudahan tentera AS terbesar di rantau berkenaan.

Media tempatan melaporkan, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik di pangkalan tentera AS di Bahrain, Kuwait dan UAE.

Terdahulu, Tehran mengesahkan, gelombang pertama serangan yang menyasarkan negara haram Israel telah bermula.