Iran-PBB bincang isu keselamatan Selat Hormuz

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tegas menyatakan Amerika Syarikat dan Israel adalah punca ketidaktentuan di Selat Hormuz./AFP

TEHRAN, 27 Mac – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa ketidaktentuan keselamatan di Selat Hormuz adalah kesan langsung daripada tindakan agresif Amerika Syarikat dan negara haram Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araghchi memberitahu Guterres Iran berhak menyekat kapal musuh atau berkaitan pihak bermusuhan dan telah mengambil langkah untuk keselamatan perkapalan.
  • Beliau menggesa PBB memikul tanggungjawab serius dengan mengambil pendirian tegas mengutuk pihak pencerobohan.
  • Guterres ulangi komitmen PBB terhadap kedaulatan, suarakan kebimbangan konflik berlanjutan, lantik Jean Arnault sebagai utusan khas keamanan.

Kenyataan itu disampaikan beliau dalam satu perbualan telefon bersama Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Araghchi memaklumkan bahawa Iran mempunyai hak untuk menyekat laluan kapal musuh atau kapal yang mempunyai kaitan dengan pihak musuh malah beliau turut menambah bahawa Tehran telah mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan perkapalan di perairan tersebut terjamin.

Dalam pada itu, beliau menggesa PBB supaya memikul tanggungjawab secara serius dengan mengambil pendirian tegas dalam mengutuk pihak yang melakukan pencerobohan.

Sementara itu, Guterres mengulangi komitmen PBB dalam menghormati kedaulatan serta integriti wilayah semua negara.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap konflik berlarutan yang melanda rantau Asia Barat ketika ini.

Sebagai langkah proaktif, Guterres mengumumkan pelantikan diplomat veteran Perancis, Jean Arnault, sebagai utusan khas beliau bagi menerajui usaha keamanan PBB dalam menangani konflik tersebut serta kesan yang bakal timbul.

Arnault sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab sebagai utusan khas PBB di Colombia, Afghanistan dan Burundi. – REUTERS