Hujan lebat ragut 10 nyawa, cetus banjir di Kenya

Hujan lebat berterusan di beberapa wilayah di Kenya mengakibatkan banjir dan tanah runtuh sejak Mac lalu – AFP

NAIROBI, 2 MEI – Sekurang-kurangnya 10 orang maut di seluruh Kenya selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa memberi amaran peningkatan paras sungai mengancam komuniti di hilir empangan hidroelektrik utama.
  • Dua jambatan rosak dan tanah runtuh tutup jalan, kerja pembaikan dijalankan serta trafik dilencongkan.
  • Kementerian letakkan lembangan hilir Sungai Tana berjaga tinggi; dataran yang dihuni lebih 100,000 penduduk berisiko banjir.

Pihak berkuasa turut memberi amaran peningkatan paras sungai yang boleh mengancam komuniti di hilir kawasan empangan hidroelektrik utama.

Polis memaklumkan dua jambatan rosak di daerah Kwale di pesisir pantai dan di Kitui di timur, manakala kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah Elgeyo Marakwet di Lembah Rift.

Pergerakan pengangkutan turut terjejas selepas tanah runtuh menutup jalan Iten–Kabarnet berhampiran Kolol.

Menurut Pihak Berkuasa Lebuhraya Nasional Kenya, kerja pembaikan sedang dijalankan dan trafik telah dilencongkan.

Palang Merah Kenya pula memaklumkan terdapat laporan belum disahkan mengenai individu hilang dan isi rumah yang terperangkap di Mukuru Kwa Njenga.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri meletakkan lembangan hilir Sungai Tana dalam keadaan berjaga-jaga tinggi berikutan peningkatan aliran air ke dalam takungan sistem empangan Seven Forks.

Dataran di Sungai Tana, yang dihuni lebih 100,000 penduduk, antara kawasan yang berisiko terjejas, menurut kementerian itu. – Reuters