Houthi dakwa serang kemudahan Saudi Aramco, tekad tingkatkan serangan

Jurucakap Kumpulan Houthi, Yahya Sarea / Foto REUTERS

SANAA, 26 Julai – Kumpulan Houthi di Yaman pada Sabtu mendakwa melancarkan serangan ke atas beberapa kemudahan milik Saudi Aramco di Jizan dan Yanbu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pertama sasar kemudahan Aramco di Jizan menggunakan puluhan peluru berpandu balistik dan dron.
  • Operasi kedua sasar kemudahan Aramco di Yanbu menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron.
  • Yahya Sarea menegaskan Houthi akan terus dan meningkatkan serangan sebagai balasan terhadap pencerobohan dan sekatan.
  • Yanbu ialah pelabuhan eksport minyak utama di Laut Merah; Jizan menempatkan loji penapisan kira-kira 400,000 tong sehari.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata operasi itu menyasarkan lokasi yang disifatkan sebagai sensitif di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Angkatan tentera Yaman menjalankan dua operasi ketenteraan. Operasi pertama menyasarkan di kemudahan Aramco di Jizan menggunakan puluhan peluru berpandu balistik dan dron.

“Manakala operasi kedua menyasarkan kemudahan Aramco di Yanbu menggunakan perlu berpandu balistik, perlu berpandu kruis dan dron,” katanya menerusi siaran televisyen.

Yahya turut menegaskan bahawa Houthi akan terus mengambil tindakan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan sekatan yang dikenakan Arab Saudi sejak 12 tahun lalu.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk memperluaskan operasi ketenteraan dan meningkatkan serangan kami dalam tempoh beberapa jam dan hari akan datang selaras dengan dasar sekatan dibalas sekatan dan peningkatan dibalas peningkatan,” katanya lagi.

Yanbu merupakan pelabuhan utama eksport minyak Arab Saudi di Laut Merah yang mengendalikan penghantaran berjuta-juta tong minyak setiap hari, selain menjadi laluan penting bagi eksport minyak negara itu yang mengelakkan Selat Hormuz.

Jizan pula, yang terletak berhampiran sempadan Yaman di pesisir Laut Merah, menempatkan sebuah loji penapisan minyak berkapasiti kira-kira 400,000 tong sehari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.