Harga minyak dunia merosot 7%

Foto Reuters

LONDON, 10 Mac – Harga minyak dunia jatuh kira-kira 7% pada Selasa selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjangkakan konflik di Asia Barat mungkin berakhir tidak lama lagi, sekali gus meredakan kebimbangan gangguan bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kata-kata Trump bahawa konflik Asia Barat mungkin hampir berakhir menenangkan pasaran dan menyumbang kepada penurunan harga minyak.
  • Perbualan Putin dan Trump serta cadangan penyelesaian pantas meredakan kebimbangan bekalan global.
  • Harga Asia Barat seperti Murban dan Dubai kekal tinggi, menunjukkan bekalan sebenar belum berubah banyak.
  • Iran mengancam menghentikan eksport minyak jika serangan berterusan; perbincangan melonggarkan sekatan Rusia dan rizab kecemasan dipertimbangkan.

Niaga hadapan Brent susut AS$6.79 atau 6.9% kepada AS$92.17 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun AS$6.55 atau 6.9% kepada AS$88.22 setong.

Kedua-dua penanda aras itu sebelum ini jatuh sehingga 11% sebelum mengurangkan kerugian.

Sehari sebelumnya, harga minyak melonjak melepasi AS$100 setong, paras tertinggi sejak pertengahan 2022, berikutan kebimbangan gangguan bekalan global susulan konflik Amerika–Israel dengan Iran serta pengurangan pengeluaran oleh pengeluar utama.

Harga kemudian merosot selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin, dilaporkan mengadakan panggilan telefon dengan Trump dan mengemukakan cadangan bagi penyelesaian pantas konflik tersebut, sekali gus menenangkan pasaran.

Dalam wawancara dengan stesen televisyen di New York pada Isnin, Trump berkata perang terhadap Iran hampir selesai dan kemajuan dicapai lebih cepat daripada jangkaan awal empat hingga lima minggu.

Penganalisis tenaga di DBS Bank, Suvro Sarkar berkata kenyataan Trump membantu menenangkan pasaran, namun pergerakan harga menunjukkan reaksi berlebihan.

Beliau berkata harga minyak gred Asia Barat seperti Murban dan Dubai masih melebihi AS$100 setong, menunjukkan keadaan sebenar bekalan belum banyak berubah.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan “walau satu liter minyak” dieksport dari rantau itu jika serangan Amerika dan Israel berterusan.

Trump juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan minyak terhadap Rusia serta melepaskan simpanan minyak kecemasan bagi mengekang kenaikan harga global.

Menurut penganalisis di Phillip Nova, Priyanka Sachdeva perbincangan mengenai kelonggaran sekatan Rusia, kemungkinan meredakan konflik dan potensi penggunaan rizab strategik oleh negara G7 memberi isyarat bahawa bekalan minyak masih boleh sampai ke pasaran.

Sementara itu, Goldman Sachs mengekalkan unjuran harga minyak Brent pada AS$66 setong bagi suku keempat 2026 dan WTI pada AS$62 setong, memandangkan situasi geopolitik masih tidak menentu.

Negara kumpulan G7 sebelum ini menyatakan kesediaan mengambil langkah perlu bagi menangani lonjakan harga minyak global, namun belum membuat komitmen untuk melepaskan rizab kecemasan. – Reuters