
LONDON, 9 Mac – Harga minyak dunia melonjak mendadak pada Isnin, mencecah lebih AS$119 setong, paras tertinggi sejak pertengahan 2022 susulan kebimbangan gangguan bekalan akibat konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
- Gangguan laluan Selat Hormuz hampir menghentikan operasi, mengancam penghantaran minyak dan gas asli cecair global.
- Pengeluar utama mengurangkan pengeluaran dan isytihar force majeure, termasuk Iraq, Kuwait dan gangguan di Qatar.
- Penganalisis ramal harga bahan api lebih tinggi beberapa minggu atau bulan; kerajaan mempertimbangkan pelepasan rizab petroleum strategik.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$13.02 atau 14 peratus kepada AS$105.71 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat naik AS$12.16 atau 13 peratus kepada AS$103.06 setong.
Dalam dagangan tidak menentu, harga Brent sebelum itu sempat mencecah AS$119.50 setong manakala WTI mencapai AS$119.48 setong, sekali gus mencatat lonjakan harga harian terbesar pernah direkodkan.
Kenaikan tersebut berlaku ketika laluan penting tenaga dunia di Selat Hormuz hampir terhenti operasi. Laluan itu biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair global.
Situasi turut dipengaruhi pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai pengganti bapanya, Ali Khamenei sebagai pemimpin tertinggi Iran, sekali gus memberi isyarat bahawa kumpulan konservatif kekal berkuasa ketika konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel berlanjutan.
Penganalisis memberi amaran pengguna dan perniagaan di seluruh dunia berdepan kemungkinan harga bahan api yang lebih tinggi selama beberapa minggu atau bulan walaupun konflik berkenaan berakhir dalam masa terdekat.
Di Amerika Syarikat, kontrak petrol meningkat kepada sekitar AS$3.22 segelen, tertinggi sejak 2022, ketika Presiden Donald Trump menyatakan kesannya terhadap kos sara hidup dijangka terhad menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.
Dalam usaha menstabilkan bekalan, kerajaan beberapa negara mempertimbangkan untuk melepaskan rizab petroleum strategik. Ketua Demokrat Senat AS, Chuck Schumer menggesa langkah tersebut dilaksanakan, manakala negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) dijangka turut membincangkan perkara sama.
Pada masa sama, pengeluaran minyak Iraq dari medan minyak utama di selatan dilaporkan merosot sehingga 70 peratus apabila kemudahan penyimpanan mencapai kapasiti maksimum.
Syarikat Kuwait Petroleum Corporation pula mengurangkan pengeluaran sejak Sabtu dan mengisytiharkan force majeure bagi penghantaran minyak.
Dalam sektor gas, pengeluar utama gas asli cecair dunia, Qatar dilaporkan menghentikan pengeluaran selepas serangan terhadap infrastruktur penting.
Selain itu, kebakaran turut dilaporkan berlaku di zon industri minyak Fujairah di Emiriah Arab Bersatu akibat serpihan yang jatuh, namun tiada kecederaan dilaporkan.-REUTERS