
TERNATE, 3 April — Sekurang-kurangnya seorang maut selepas gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud melanda timur Indonesia awal pagi Khamis, dengan gegaran dirasai di beberapa bandar termasuk Manado dan Bitung.
- Beberapa bangunan rosak teruk, termasuk runtuhan yang menyebabkan kematian seorang warga emas, Desy Layah, 70 tahun.
- Amaran tsunami dikeluarkan sejurus gempa namun ditarik balik tidak lama kemudian.
- Sekurang-kurangnya 25 gegaran susulan direkod, pasukan penyelamat membersihkan runtuhan dan menilai kerosakan.
Menurut laporan, pusat gempa dikesan pada kedalaman 62 kilometer di Laut Maluku berhampiran Ternate, menyebabkan orang ramai panik dan keluar menyelamatkan diri dari bangunan.
Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Nuriadi Gumerang berkata beberapa bangunan mengalami kerosakan serius, termasuk melibatkan kematian seorang warga emas.
“Terdapat beberapa bangunan yang terjejas. Kerosakan paling teruk di belakang saya dan turut menimpa penduduk. Terdapat kematian. Seorang mangsa ialah Desy Layah, 70 tahun,” katanya.
Rakaman kejadian menunjukkan pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Sentra Medika, Manado, bertempiaran keluar sebelum kembali semula ke dalam bangunan selepas keadaan stabil.
Pasukan penyelamat turut dilihat membersihkan runtuhan di beberapa lokasi termasuk pejabat Jawatankuasa Sukan Nasional Indonesia (KONI).
Dalam pada itu, seorang saksi, Rasyid Poli berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika beliau berada di dalam bangunan.
“Kami berada di situ kira-kira tiga hingga lima minit sebelum gempa berlaku dan bangunan runtuh. Kami sempat keluar, namun kira-kira tiga meter dari situ, seseorang tertimbus di bawah runtuhan,” katanya.
Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa berlaku, namun amaran tersebut telah ditarik balik tidak lama kemudian.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 25 gegaran susulan direkodkan, manakala pasukan kecemasan masih meneruskan pemantauan serta penilaian kerosakan, khususnya bagi mengelakkan risiko kejadian susulan. – VIORY